BN kekal hormat MCA, MIC sebagai rakan setia – Ahmad Zahid

BN kekal hormat MCA, MIC sebagai rakan setia – Ahmad Zahid

GOMBAK: Barisan Nasional (BN) akan terus mengekalkan semangat setiakawan dan penghormatan terhadap parti komponen bukan Melayu seperti MCA dan MIC yang kekal setia bersama gabungan itu sejak penubuhannya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, MCA dan MIC bukan sahaja diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi-kerusi tradisi malah terus dihormati sebagai rakan kongsi yang memainkan peranan penting dalam BN.

“MCA, misalnya, kekal menerima kerusi-kerusi tradisi majoriti Melayu yang kita serahkan atas dasar kepercayaan dan semangat kongsi kuasa.

“Begitu juga MIC. Ini menunjukkan bahawa kita menghormati dan menghargai kesetiaan mereka sejak dahulu lagi. Kita bukan hanya bersama dalam susah dan senang, tetapi juga mengekalkan semangat permuafakatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang Kali Ke-37 Tahun 2025 di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pegangan dan pendekatan BN dalam meraikan semua kaum dan agama akan terus dikekalkan sebagai asas kepada perpaduan nasional.

“Kita percaya kepada kepelbagaian sebagai kekuatan dan kerjasama antara kaum dalam BN inilah yang menjadi formula kejayaan sejak puluhan tahun,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menggesa agar parti itu tidak dipinggirkan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sebaliknya perlu diberikan kerusi yang bersesuaian bagi membuktikan kerelevanannya dalam landskap politik semasa.

Dalam satu podcast yang dihoskan wartawan Amin Iskandar semalam, Ti berkata, MCA berpotensi untuk mencatatkan prestasi baik di kawasan majoriti Melayu, khususnya jika berdepan calon DAP.

Menurut Ketua MCA Bahagian Kuantan itu, ketika ini UMNO lebih bergantung kepada DAP memandangkan MCA hanya memiliki jumlah kerusi yang kecil di Parlimen. – UTUSAN

Scroll to Top