Skuad karate mahu jadi lubuk emas Sukan SEA Thailand

Skuad karate mahu jadi lubuk emas Sukan SEA Thailand

BUKAN ingin jadi ‘penumpang’, skuad karate sebaliknya mahu menjadi lubuk emas buat kontinjen negara pada Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini.

Pemangku ketua jurulatihnya, R Sharmendran mendedahkan bahawa mentaliti setiap atlet yang diturunkan adalah untuk memburu kilauan emas, selari dengan status negara sebagai kuasa besar sukan itu di peringkat Asia Tenggara.

“Kalau tanya saya, ada 20 kategori, semua 20 emas saya nak. Mentaliti kita bukan sekadar menyertai, kita mahu menang semuanya,” katanya.

Keyakinan itu disandarkan kepada komitmen tinggi yang ditunjukkan para atlet serta impak positif daripada kem latihan intensif di China baru-baru ini yang disifatkannya sebagai medan ujian terbaik.

Sharmendran berkata, kem latihan di Hangzhou itu bukan sekadar platform pendedahan biasa, sebaliknya menjadi medan penting untuk menguji kemampuan sebenar atlet negara.

Tambahnya, mereka berpeluang berlatih dan bertanding dengan jaguh dari negara kuasa besar lain termasuk pemenang pingat Olimpik.

“Kem di China itu sangat bagus. Ia bukan sekadar ‘tryout’, ia adalah platform untuk kita meneroka pelbagai aspek. Pemenang pingat Olimpik China, Gong Li turut berlatih bersama pasukan kita.

“Ia juga menjadi pilihan yang baik untuk kita meneroka keupayaan menentang atlet dari Hong Kong, Macau, Filipina dan sudah tentu, China sendiri,” katanya.

Sambil memuji komitmen luar biasa yang dipamerkan barisan atlet negara, Sharmendran turut menghargai usaha Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) yang sentiasa proaktif dalam memajukan sukan ini.

“Saya sangat gembira dengan komitmen yang ditunjukkan atlet. Mereka banyak berkorban, jadual mereka sangat padat dari satu kejohanan ke kejohanan lain tanpa rehat yang cukup.

“Usaha MAKAF di bawah teraju Datuk Nur Azmi (Ahmad) wajar dipuji,” katanya sambil memaklumkan sasaran pingat buat skuad karate di Sukan SEA akan diumumkan oleh pucuk pimpinan persatuan.

Scroll to Top