am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Johor menjadi lokasi pertama jelajah Melodi Terhangat Superstar Tour, sempena Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) yang bertempat di AEON Mall Tebrau City, di sini, hari ini.
Pengurus Besar Kandungan TV3, Marlia Zul Amran berkata, jelajah eksklusif ini membawa barisan pencalonan AMT2025 untuk berkongsi kemeriahan sebenar AMT2025 bersama peminat.
Katanya terdapat tiga lokasi iaitu Johor, diikuti AEON Mall Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 19 Julai depan dan Teluk Cempedak, Kuantan Pahang pada 26 Julai 2025.
“Hari ini di Johor kita membawakan barisan artis paling hangat seperti Sophia AlBarakbah, Alya Iman, Siti Elizad, Shiha Zikir, Amir Masdi, Puteri Khareeza dan Nadzmi Adhwa turun padang untuk sesi ‘meet and greet‘ bersama peminat.
“Dengan kategori yang dipertandingan lebih segar dan relevan, AMT 2025 mencerminkan perubahan landskap hiburan masa kini yang ditentukan sepenuhnya oleh suara dan sentimen rakyat.
“AMT2025 menggunakan 100 peratus undian awam melalui Tonton. Kuasa sebenar kini di tangan peminat. Undian telah pun dibuka pada 12 Julai dan setakat ini telah mencecah 1 juta undian dalam masa tiga hari.
“Teruskan mengundi sehingga 31 Julai untuk menentukan pemenang paling terhangat tahun ini,” katanya.
Sementara itu, penyanyi Amir Masdi memaklumkan selepas sembilan tahun tidak diadakan, AMT2025 diharap dapat menjadi anugerah yang memberi fenomena dalam industri hiburan.
“Jelajah ini adalah idea yang bagus untuk kami dan AMT2025 sendiri dekat dengan peminat. Ia ibarat acara ‘comeback‘ selepas sembilan tahun menyepi.
“Johor menjadi lokasi pertama jelajah kali ini. Peminat masih boleh mengundi dan kalau saya meraih kemenangan itu akan menjadi kemenangan buat peminat,” katanya yang tercalon dalam top 10 kategori Selebriti Muzik Onz & Terhangat.
Bagi pelakon, Sophia Al-Barakbah yang tercalon dalam top 10 kategori Selebriti Feminin Terhangat menyifatkan fans dan peminat dari Johor ‘sporting‘.
Katanya walaupun dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru diuji dengan insiden tayar bas yang dinaiki pecah di Machap, Batu Pahat, dia tetap teruja berjumpa peminat dari selatan tanah air.
“Dalam perjalanan lambat sebab tayar bas pecah jadi masa perjalanan lambat sikit, mereka ambil kami menaiki kereta, risau juga sebab lambat sampai nanti mood fans (peminat) tidak seronok.
“Tetapi bila sudah sampai dan naik atas pentas semua fans memang ‘sporting‘ main kuiz jadi seronok jelajah AMT2025 di Johor.
“Jelajah AMT2025 semestinya membantu menaikkan bukan sahaja nama artis baru tetapi memperkenalkan drama yang kami lakonkan. Dalam AMT2025 selain kategori Selebriti Feminin Terhangat, drama Marina lakonan Sophia juga tercalon dalam Tonton Original Terhangat,” katanya.
Terdapat 12 kategori membabitkan kategori Selebriti Drama Sangat Terhangat, Tonton Original Terhangat, Selebriti Ikon Terhangat Dikuasai Oleh Samsung Galaxy dan Selebriti Couple Goals Terhangat.
Selain itu, kategori Selebriti Maskulin Terhangat, Selebriti Feminin Terhangat, Selebriti Muzik Paling Onz & Terhangat, Selebriti Trending Terhangat, Selebriti Stailo Terhangat dan Selebriti Newcomer Terhangat.
Tidak ketinggalan, AMT 2025 turut memperkenalkan Anugerah Pilihan Proton X50 Superstar dan anugerah paling utama adalah Anugerah Melodi Terhangat 2025.
AMT 2025 akan dikendalikan gandingan pengacara, Ain Edruce dan Fikry Ibrahim.
Pemenang akan ditentukan berdasarkan undian secara atas talian di www.tonton.com.my. Pengundian mula dibuka sehingga 31 Julai depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd