Imran sedia berjuang di Sukan SEA Thailand

Imran sedia berjuang di Sukan SEA Thailand

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain polo kebangsaan, Imran Khan Mohamed Moiz menyatakan kesediaannya untuk kembali menggalas cabaran negara di pentas Sukan SEA 2025 yang dijadual berlangsung di Thailand hujung tahun ini.

Namun begitu, Imran mengakui bahawa pemilihan ke temasya berprestij itu bukan terletak di tangannya, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada keputusan barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan.

Katanya, tumpuan utama ketika ini adalah untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang dan mempamerkan aksi konsisten dalam setiap perlawanan yang disertai bersama pasukannya.

“Kalau saya terus beri yang terbaik, tingkatkan mutu permainan dan main seperti biasa, saya yakin peluang untuk tersenarai tetap ada. Tapi siapa yang dipilih, itu hak jurulatih,” katanya yang menyertai Liga Kuala Lumpur Polo Club (KLPC) Triple Crown 3, baru-baru ini.

Liga Kuala Lumpur Polo Club (KLPC) Triple Crown 3itu menjadi antara aksi kompetitif utama bagi pemain polo tempatan tahun ini, sekali gus menjadi pentas penting untuk membuktikan kemampuan kepada panel pemilihan negara.

Imran bukan nama asing dalam arena sukan berkuda negara apabila pernah mewakili skuad polo Malaysia pada temasya Sukan SEA 2019 di Manila.

Sementara itu, Naib Presiden KLPC, Stanley Sinnappen berkata, Triple Crown 3 adalah kejohanan terbesar pertama kelab itu bagi tahun ini, dan akan disusuli beberapa kejohanan berskala kecil sehingga hujung tahun.

“Selain kejohanan lelaki, kami juga akan menganjurkan kejohanan polo wanita dalam masa terdekat. Ia pasti memberi warna baharu kepada sukan polo negara,” katanya.

Stanley turut menjelaskan pelbagai lagi program dan kejohanan dijangka berlangsung tahun depan bagi memperkukuhkan lagi ekosistem sukan polo di negara ini, terutama dalam aspek pembangunan pemain pelapis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top