rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua lelaki warga Bangladesh termasuk pengarah syarikat pelancongan berpangkalan di ibu negara, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki mendalangi sindiket kemasukan warga asing dengan memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA 1).
Sumber berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 50-an itu ditahan dalam operasi yang dijalankan sekitar Negeri Sembilan antara jam 5 petang hingga jam 7 malam, semalam.
“Siasatan awal mempercayai suspek adalah ejen warga asing yang memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa di KLIA 1 bagi memudahkan kemasukan warga asing melalui pintu masuk negara.
“Modus operandi yang digunakan sindiket adalah dengan mendekati pegawai penguat kuasa di KLIA bagi menjalankan aktiviti counter setting.
“Pegawai yang terbabit akan memudahkan proses pemeriksaan warga asing berkenaan,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek direman enam hari bermula hari ini sehingga 20 Julai ini untuk siasatan lanjut.
Perintah reman dikeluarkan Pegawai Pendaftar Kanan, Shaik Zuladdruse Merican Sadzol Othman Merican selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Semalam, SPRM melalui Bahagian Perisikan menjalankan operasi bersepadu, Op Recruit di sekitar Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
Operasi bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu turut disertai anggota Skuad Taktikal Antirasuah (ACTS), berpandukan maklumat hasil risikan sejak awal tahun ini.
Dalam serbuan itu, SPRM menyita tiga telefon bimbit dan pelbagai mata wang asing termasuk Dolar Amerika Syarikat, Rupiah (Indonesia) dan Taka (Bangladesh) dengan keseluruhan bernilai kira-kira RM16,000.
Menurut sumber lagi, bermula Januari hingga awal bulan ini, SPRM turut mengesan sebanyak 10 transaksi berlaku dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM138,000.
“Siasatan awal mendapati bagi setiap individu, pegawai penguat kuasa diberikan rasuah antara RM1,800 hingga RM2,500.
“Pembayaran dilakukan oleh sindiket secara tunai melalui orang tengah dan lokasinya adalah di dalam kenderaan atau kediaman suspek di sekitar Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd