am@hmetro.com.my
Kulim: Remaja perempuan berusia 15 tahun yang dirawat di Hospital Kulim akibat kecederaan parah selepas terbabit dalam kemalangan bersama ibunya di simpang Padang Limau, Jalan Kulim-Mahang berhampiran Balai Polis Sungai Kob, Isnin lalu, menghembuskan nafas terakhir semalam.
Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, ibunya, Suhana Hamid, 39, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Anak mangsa, Nurul Suhada Balqis Mohd Azizudin yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Mutiara pula disahkan meninggal dunia semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, remaja itu meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kulim jam 6.20 petang semalam.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Media pada 14 Julai lalu melaporkan, seorang ibu maut manakala anak perempuannya cedera di kepala selepas motosikal mereka terbabit kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi di simpang Padang Limau, Jalan Kulim – Mahang berhampiran Balai Polis Sungai Kob.
Dalam kejadian itu, suri rumah itu yang menunggang motosikal jenis SYM meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah manakala anaknya dihantar ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




