London: Liverpool dikaitkan dengan perpindahan mengejut bagi mendapatkan Marcus Rashford selepas dia menjadi salah seorang daripada lima pemain disingkirkan daripada sesi latihan Manchester United oleh pengurus baharu, Ruben Amorim.
Amorim tidak berpuas hati dengan tahap prestasi Rashford dalam latihan pada Disember lalu, lalu segera mengetepikannya dan meminjamkannya ke Aston Villa sehingga akhir kempen musim 2024/25.
Rashford kembali ke United untuk pra-musim selepas tempoh pinjamannya tamat, namun dia bersama empat lagi pemain tidak dikehendaki Antony, Alejandro Garnacho, Jadon Sancho dan Tyrell Malacia tidak dibenarkan berlatih bersama skuad utama dan hanya dibenarkan hadir ke pusat latihan Carrington pada jam 5 petang.
Kelima-lima pemain itu dimaklumkan supaya mencari kelab baharu, dan Liverpool muncul sebagai destinasi mengejut buat Rashford yang juga peminat setia United sejak kecil dan merupakan produk akademi kelab itu.
Liverpool sangat aktif dalam pasaran perpindahan setakat ini dan dipercayai sedang mencari penyerang baharu.
Wartawan terkenal Fabrizio Romano melaporkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sedang merancang tawaran rasmi kepada Newcastle United untuk mendapatkan Alexander Isak dengan nilai perpindahan tertinggi dalam sejarah kelab.
© New Straits Times Press (M) Bhd




