sukan@hmetro.com.my
Nilai: Pelumba Kedah, Nurul Nabilah Asri menutup penampilan terakhirnya di Sukan Malaysia (SUKMA) dengan penuh bergaya apabila meraih pingat emas keempat menerusi acara pecut berpasukan wanita di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.
Nabilah bergandingan dengan Zahra Afifah Zamri dan Nurain Syafiqah Farid mencatatkan masa 51.600 saat bagi meraih emas, mengatasi Pulau Pinang yang meraih perak dengan 53.000 saat, manakala Johor membawa pulang gangsa dengan catatan 52.596 saat.
Kemenangan itu melengkapkan kempen terakhir SUKMA yang cukup cemerlang buat Nabilah apabila dia turut meraih emas dalam acara basikal bukit cross-country (XCO) wanita, kriterium dan perlumbaan lebuh raya individu.
Edisi SUKMA 2026 menjadi penampilan paling berjaya buat pelumba Kedah itu apabila mengumpul empat emas, satu perak dan dua gangsa pada penampilan terakhirnya di temasya berkenaan.
Pencapaian itu turut menyaksikan Nabilah mengatasi kutipan pingat kakaknya yang juga ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Asri, yang meraih empat emas pada edisi Kuala Lumpur 2022.
“Alhamdulillah, buat masa ini saya sangat berpuas hati. Saya berjaya membawa pulang empat emas, satu perak dan dua gangsa.
“Saya rasa emas terbaik saya adalah dalam acara basikal bukit, perlumbaan lebuh raya dan kriterium,” kata Nabilah.
Bagaimanapun, bagi pelumba berusia 20 tahun itu, emas kriterium menjadi pencapaian paling bermakna memandangkan acara berasaskan pungutan mata itu memerlukan strategi dan taktikal yang tinggi.
“Emas yang paling saya hargai adalah kriterium kerana ia adalah acara pungutan mata,” katanya.
Nabilah berkata, dia membuat keputusan untuk menyertai sebanyak mungkin acara pada SUKMA terakhirnya kerana mahu memberikan segala-galanya sebelum melangkah ke fasa baharu dalam kariernya.
Sekiranya diberikan peluang untuk terus bersaing di peringkat senior, Nabilah berkata, dia mahu memberi tumpuan kepada acara berbasikal lebuh raya.
Dalam acara lain, trio Terengganu, Dahlia Hazwani Hasyim, Ameera Alya Zahhirudin dan Nur Aierin Wadhia Adni mencipta rekod kebangsaan dengan catatan empat minit 46.824 saat untuk mengejutkan Johor dan meraih emas, manakala Kedah terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas menewaskan Selangor.
Pelumba kebangsaan, Nur Alyssa Farid pula meraih emas acara keirin wanita selepas menewaskan rakan sepasukan kebangsaan dari Selangor, Amber Ann Tung serta pelumba remaja kebangsaan dari Pulau Pinang, Nur Umairah.
© New Straits Times Press (M) Bhd


