Isu roboh kuil: Kita tak halang jika pembinaan patuhi syarat – MB Perlis

Isu roboh kuil: Kita tak halang jika pembinaan patuhi syarat – MB Perlis

Jawatankuasa rumah ibadat yang didapati dibina tanpa kebenaran di Perlis diminta tampil berunding dengan kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, tindakan merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi dibuat selepas berlaku pembinaan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Abu Bakar berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah dengan pembinaan kuil atau rumah ibadat lain sekiranya ia mematuhi syarat serta dibina di lokasi yang dibenarkan.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap kuil berkenaan juga perlu dijadikan pengajaran supaya semua pihak menghormati undang-undang serta keputusan mahkamah.

“Ikut Perlembagaan Persekutuan, agama Islam merupakan agama rasmi di negara ini namun agama lain juga masih boleh dianuti secara aman.
“Dalam keadaan hari ini, kita tak halang sekiranya pembinaan kuil itu mematuhi syarat dan tempat sesuai, jadi saya rasa kerajaan negeri telah bertindak untuk selesaikan isu-isu pembinaan kuil di luar kawasan dibenarkan.
“Pencerobohan kuil itu dah lama berlaku dan bila kita bagi notis sebelum ini, mereka masih gagal untuk berpindah,” katanya ketika ditemui selepas Program Info On Wheels di Kangar Jaya Mall hari ini.
Isu roboh kuil: Kita tak halang jika pembinaan patuhi syarat – MB Perlis

Foto arkib: Utusan

Kenyataan itu susulan tindakan penguatkuasaan merobohkan kuil berkenaan yang dikritik Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, kelmarin.

Rayer dalam kenyataan medianya menyifatkan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebagai angkuh dan rasis, selain mendakwa kejadian seumpama itu tidak berlaku di negeri yang ditadbir Kerajaan Perpaduan.

Foto arkib: Berita Harian

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, pihak pengurusan kuil atau mana-mana jawatankuasa rumah ibadat yang berdepan isu pembinaan tanpa kebenaran sepatutnya berbincang secara terus dengan kerajaan negeri.

“Kita tak mahu perkara ini berlaku, kita boleh bagi tempoh untuk lanjutkan tindakan tapi sampai bila ?. Saya bagi gambaran ini supaya semua pihak dapat berhenti membina rumah ibadat di tempat-tempat tak dibenarkan,” ujarnya.

Beliau berkata, isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran bukan hanya membabitkan Kuil Veeramakaliamman, malah beberapa lokasi lain turut dikenal pasti.

Jelasnya, antara kawasan yang mempunyai rumah ibadat dibina di lokasi tidak dibenarkan termasuk sekitar Kuala Perlis dan Padang Besar.

“Saya harap isu ini jadi iktibar bukan sahaja di Perlis tapi negeri-negeri lain di mana pembinaan rumah ibadat perlu dapat kelulusan mengikut proses undang-undang ditetapkan,” tambahnya.

Sumber: Utusan Malaysia (Asyraf Muhamad)

Scroll to Top