Loudenvielle: Peningkatan suhu dan kelajuan tinggi di Tour de France mencetuskan kebimbangan keselamatan, memaksa pengarah pasukan menggesa perubahan terhadap peraturan zon sajian, susulan risiko kemalangan dan dehidrasi yang semakin tinggi.
Pengarah prestasi Groupama-FDJ, Philippe Mauduit, menyifatkan kedudukan zon sajian pada laluan lurus berkelajuan 60 kilometer per jam (km/j sangat berbahaya.
“Jika pelumba cuba capai beg bekalan makanan, mereka boleh patah jari atau terjatuh. Kalau terlalu kerap membrek, mereka akan tercicir,” katanya kepada Reuters sebelum bermulanya peringkat ke-13.
Kebimbangan itu semakin mendesak selepas pelumba Perancis, Bryan Coquard, patah jari ketika mengambil beg bekalan makanan pada peringkat ke-12, sekali gus memaksa dia menarik diri selepas ujian masa individu semalam.
Cuaca panas mencecah 35 darjah celsius turut menambah tekanan kepada isu keselamatan ini.
Sekumpulan pengarah sukan pasukan sudah mengemukakan cadangan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), penganjur perlumbaan termasuk cadangan semula lokasi zon sajian di kawasan lebih selamat seperti laluan mendaki.
Beberapa perubahan diterima seperti kebenaran memberi bekalan di kaki pendakian, namun pengarah pasukan mahukan langkah lebih besar.
Selain menambah zon selamat, mereka turut mencadangkan pelarasan jadual perlumbaan kerana suhu panas yang semakin meningkat setiap tahun.
“Jika kita terus berlumba pada Julai, kita perlu mula lebih awal. Ini soal keselamatan, bukan paparan di televisyen,” kata pengarah EF Education–EasyPost, Tom Southam.
© New Straits Times Press (M) Bhd