am@hmetro.com.my
Petaling Jaya : Penyanyi dan pelakon, Andi Bernadee meluahkan rasa syukur kerana penyakit autoimun hipertiroid yang dihidapinya sudah beransur pulih.
Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 35, berkata, dia kini hanya perlu makan dua biji ubat sahaja sehari dan masih mendapat rawatan susulan di hospital.
“Alhamdulillah, sebelum ini, saya terpaksa mengambil sehingga 15 biji ubat sehari bagi mengawal keadaan kesihatan.
“Penyakit autoimun hipertiroid ini ialah di mana hormon badan saya berlebihan dan ia akan serang organ-organ lain.
“Saya pernah alami gigi bernanah sampai tiga bulan tak berhenti. Berdiri pun semput, bawa kereta tak boleh tekan pedal minyak sebab badan menggigil dan tengah tidur pula boleh menjerit sebab kekejangan,” katanya ketika ditemui pada majlis pra-dengar album terbaharunya berjudul Ding Geding yang berlangsung di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata Andi, dia kini hampir berjaya mendapatkan berat badan asalnya sekali gus menjawab penampilannya yang ‘berselubung’ sebelum ini.
“Masa sakit dulu berat badan saya turun sebanyak 20 kilogram (kg) dan sekarang berat badan saya sudah naik dari 46 kg kepada 67 kg.
“Sebenarnya saya sudah hidup dengan penyakit ini lebih setahun, cuma saya menafikan dan tetap teruskan kerja seperti biasa pergi ke set dan menyanyi,” katanya.
Mengenai penampilan ‘berselubung’ sebelum ini, Andi berkata, ia bukan kerana mahu mengasingkan diri daripada umum.
Sebaliknya, dia hanya ingin mengelakkan perhatian ramai terhadap perubahan fizikalnya ketika memberi fokus kepada promosi album.
“Saya ada keluar rumah, tapi tak adalah berselubung sangat. Kalau keluar pun saya pakai topi dan pelitup muka, mungkin sebab itu ramai tak perasan.
“Dalam bidang ini, memang perlukan perhatian, tapi waktu itu ‘teaser’ video sedang berjalan. Saya tak nak orang keliru.
“Nanti orang kata ‘kejap nampak badan lain, dalam video lain pula’, siap tuduh saya buat macam-macam. Jadi saya elakkan benda itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




