PFA pula tampil pertahan kepimpinan Hamidin

PFA pula tampil pertahan kepimpinan Hamidin

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Di saat kedudukan Tan Sri Hamidin Mohd Amin terus menjadi topik hangat dalam landskap bola sepak negara, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu menerima satu lagi suntikan sokongan apabila Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang tampil mempertahankan kredibiliti dan kepimpinannya.

Malah, PFA menyifatkan Hamidin sebagai individu paling layak untuk terus memainkan peranan penting dalam FAM ketika badan induk itu berdepan pelbagai cabaran membabitkan pembangunan, pentadbiran dan hala tuju bola sepak negara.

Sokongan terbuka itu menjadikan PFA sebagai persatuan negeri ketiga selepas Pulau Pinang dan Melaka yang secara rasmi menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Hamidin.

Presiden PFA, Zamri Ibrahim berkata, sehingga kini beliau masih belum melihat mana-mana individu yang mampu menandingi pengalaman serta jaringan antarabangsa yang dimiliki Hamidin.

Menurutnya, pengalaman luas Hamidin dalam pentadbiran bola sepak bukan hanya ketika bergelar Presiden FAM, malah jauh lebih awal sebelum beliau memegang jawatan tertinggi badan induk itu.

“Pengalaman beliau dalam FAM sangat lama, bukan sahaja sebelum menjadi presiden, ketika menjadi presiden, malah sehingga sekarang beliau masih mempunyai hubungan yang kuat dengan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).

“Kita belum nampak lagi individu lain yang mempunyai pengalaman dan jaringan seperti beliau. Pada saya, beliau adalah orang yang tepat untuk masa ini,” katanya.

Hamidin pernah menerajui FAM dari 2018 hingga 2025 dan sepanjang tempoh itu memainkan peranan penting dalam beberapa perubahan besar membabitkan struktur pentadbiran serta pembangunan bola sepak negara.

Di pentas antarabangsa, beliau turut mencipta pengaruh tersendiri apabila pernah menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selain terlibat dalam beberapa jawatankuasa penting di bawah FIFA dan AFC.

Bagi Zamri, hubungan serta pengaruh yang dibina Hamidin selama bertahun-tahun di peringkat antarabangsa adalah aset yang sukar dicari ganti dan masih diperlukan oleh bola sepak Malaysia.

Namun, beliau mengingatkan kejayaan sesebuah organisasi tidak boleh bergantung kepada seorang pemimpin semata-mata.

Katanya, seseorang presiden memerlukan sokongan padu daripada barisan Exco dan timbalan presiden yang mampu bergerak seiring bagi memastikan setiap keputusan dibuat demi kepentingan bola sepak negara.

“Beliau boleh melaksanakan tugas itu, tetapi perlu dibantu oleh Exco yang kuat dan presiden tidak boleh bekerja seorang diri.

“Barisan Exco dan timbalan presiden perlu memainkan peranan yang lebih efektif bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah yang terbaik untuk bola sepak negara,” katanya.

Sokongan daripada tiga persatuan negeri dalam tempoh singkat dilihat memberi gambaran jelas Hamidin masih mempunyai pengaruh besar dalam kalangan ahli gabungan walaupun tidak lagi menerajui FAM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top