Cipta bahagia beriadah

Cipta bahagia beriadah

rencana@hmetro.com.my

MENURUT kajian Universiti Harvard, aktiviti fizikal seperti riadah bersama keluarga bukan sahaja membantu meningkatkan kadar metabolisme dan kecergasan fizikal, malah terbukti menyumbang kepada kestabilan emosi dan kebahagiaan jangka panjang.

Lima cadangan aktiviti riadah sihat untuk sekeluarga

1. Berjalan santai atau joging di taman

Menurut laporan American Heart Association, berjalan 30 minit sehari boleh membantu menurunkan risiko penyakit jantung sebanyak 19 peratus.

Aktiviti itu paling mudah tapi berkesan selain membantu melancarkan peredaran darah, menyegarkan minda dan sesuai untuk semua peringkat umur.

2. Kayuh basikal

Tidak dinafikan kayuhan santai sekitar taman atau kawasan perumahan dapat membina stamina dan menguatkan otot kaki.

Pada masa sama melatih anak anda belajar keselamatan jalan raya secara praktikal.

Secara tidak langsung aktiviti ini turut membantu meningkatkan sistem kardiovaskular dan merangsang hormon endorfin yang menjadikan kita lebih ceria serta bertenaga.

3. Berkebun atau tanam pokok hiasan

Kajian menunjukkan berkebun selama 45 minit boleh membakar kalori setara dengan berjalan selama satu jam.

Aktiviti berkebun juga bantu anak-anak mencintai alam sekitar dan ia juga baik untuk kesihatan jantung.

4. Permainan sukan

Permainan sukan bersama keluarga seperti badminton, bola jaring dan sepak takraw bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga membina semangat berpasukan.

Kajian British Journal of Sports Medicine menyatakan sukan rekreasi seperti ini membantu mengurangkan risiko obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan meningkatkan daya tahan fizikal.

5. Melawat tempat menarik

Kajian mendapati lawatan ke tempat rekreasi terbuka mampu mengurangkan kadar kortisol (hormon stres) dan membantu meningkatkan tahap fokus dalam kalangan kanak-kanak.

Malah aktiviti ini juga membantu merangsang minda anak anda dengan belajar sesuatu yang baru sambil bersenam tanpa sedar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top