farid_noh@bh.com.my
Pasir Gudang: Pengurus syarikat hilang wang simpanan RM262,669 selepas terpedaya dengan pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan berganda, ditawarkan menerusi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, wanita berusia 39 tahun itu membuat laporan semalam, mendakwa melihat iklan itu pada April sebelum tertarik menyertainya dan menekan pautan diberikan.
“Mangsa kemudian melakukan 16 transaksi ke dua akaun bank berlainan bermula 25 April hingga 4 Julai lalu, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM262,669.
“Dia kemudian diminta membuat bayaran berperingkat, kononnya bagi mengeluarkan hasil keuntungan, namun gagal memperolehnya sebelum sedar sudah ditipu apabila nombor telefon suspek tidak dapat dihubungi lagi,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Sohaimi berkata, semakan polis mendapati satu daripada akaun bank penerima transaksi adalah akaun yang tersenarai dalam portal Semak Mule sebagai akaun terbabit dalam kes penipuan pelaburan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihati agar sentiasa berhati-hati dan menyemak sebarang pelaburan yang ditawarkan sebelum membuat sebarang bayaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd