hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis kini sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk ritual bertentangan dengan syarak dalam program motivasi rumah tangga (eHATI).
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan secara menyeluruh kini sedang dijalankan.
“Semua ini dalam siasatan lagi. Semua mereka ditahan sudah diberi jamin semalam,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, pengasas program motivasi eHATI yang juga pasangan suami isteri bersama empat individu lain berusia antara 26 hingga 57 tahun direman tiga hari bagi membantu siasatan.
Siasatan polis mendapati wujud aktiviti berbogel semasa sesi tertutup khas dikenali sebagai Queens Night dalam program motivasi eHATI itu.
Program berkenaan menawarkan dua pakej kepada peserta dengan bayaran antara RM6,000 hingga RM9,000 termasuk Queens Night.
Selain itu, 50 peserta yang menyertai program itu juga dikenal pasti menerusi senarai nama yang diperoleh polis dan mereka diminta tampil bagi memberi keterangan.
Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan; Seksyen 294 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
© New Straits Times Press (M) Bhd