Penyu lipas cedera diselamatkan di Sungai Besar

Penyu lipas cedera diselamatkan di Sungai Besar

am@hmetro.com.my

Sungai Besar: Dibuang dari bot nelayan dalam keadaan sirip cedera selepas tersangkut pada jaring nelayan.

Itu nasib dialami seekor penyu lipas betina yang diselamatkan orang awam berhampiran Pintu Kunci Air Sungai Besar, di sini baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya segera bergegas ke lokasi kejadian sebelum memberi bantuan awal kepada spesis marin seberat 22 kilogram itu.

Beliau menambah, penyu lipas atau nama saintifiknya Lepidochelys olivacea adalah spesies amat jarang ditemui di perairan Selangor kerana kawasan pantai negeri ini bukan lokasi pendaratan semula jadi penyu.

“Hasil pemeriksaan mendapati penyu berusia 10 tahun itu mengalami kecederaan ringan pada bahagian kedua-dua sirip akibat tersangkut pukat.

“Saksi melaporkan haiwan terbabit dibuang dari bot di kawasan jeti Bagan Sungai Besar,” katanya tadi.

Noraisyah berkata, penyu itu dibawa ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari, Perak untuk menerima rawatan lanjut serta pemantauan kesihatan sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan perairan Selangor merupakan laluan bagi spesis penyu.

“Kami merakamkan penghargaan kepada orang awam atas keprihatinan dan kerjasama dalam usaha melindungi spesies marin terancam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top