am@hmetro.com.my
Lahad Datu: Pasukan Polis Marin (PPM) terus menggempur sindiket penyeludupan apabila menumpaskan satu lagi kegiatan haram membabitkan rampasan rokok seludup bernilai lebih RM300,000 di kawasan Silam, di sini, semalam.
Dalam serbuan 5.30 pagi itu, sepasukan anggota dari Unit Gempur Marin (UNGERIN) PPM Wilayah Empat Sabah menyerbu sebuah rumah yang dijadikan stor simpanan rokok seludup.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil serbuan itu membawa kepada penemuan 215,600 batang rokok seludup pelbagai jenama.
“Pasukan operasi turut merampas dua kenderaan dipercayai digunakan untuk menyimpan barangan seludup berkenaan. Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 25 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Nilai rampasan rokok berjumlah RM307,160 dan jumlah keseluruhan termasuk kenderaan dianggarkan RM507,590,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan termasuk usaha mengesan rangkaian sindiket penyeludupan rokok yang aktif di kawasan Pantai Timur Sabah.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.
Sementara itu, Nazri berkata pihaknya akan terus komited membanteras kegiatan penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.
“Kerjasama orang awam amat dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau penyeludupan di perairan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd