hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 16 jalan sekitar pusat bandar raya dijangka mengalami lencongan lalu lintas bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya susulan penganjuran Perhimpunan #TurunAnwar, esok.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, perhimpunan itu berlangsung di lima lokasi utama iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan Kompleks SOGO, sebelum ke Dataran Merdeka.
Katanya, susulan itu lencongan kenderaan akan diaktifkan sekiranya keadaan memerlukan dan bergantung situasi semasa.
“Laluan dijangka terbabit, Jalan Maharajalela; Susur ke Jalan Syed Putra, Jalan Kinabalu; U-turn Public Bank, Bulatan Sultan Mohamad, Jalan Kinabalu; Susur ke Terowong Bukit Aman dan Jalan Kinabalu; Susur ke Bulatan Dato’ Onn.
“Selain itu, atas Bulatan Dato’ Onn (Kiri & Kanan Bulatan Dato’ Onn Dari arah Jalan Parlimen); Jalan Sultan Salahuddin; Bulatan Dato’ Onn, Jalan Kuching; Susur ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Kinabalu (dari arah Bulatan Segambut ke arah Bulatan Dato Onn) dan Jalan Kinabalu (dari arah Masjid Negara ke arah Bulatan Dato Onn) serta Jalan Lebuh Pasar Besar, Jalan Hang Kasturi.
“Turut sama Jalan Hishamuddin; Jalan Raja, Jalan Parlimen; Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman; Jalan Tun Perak dan Jalan Lebuh Ampang; dan Jalan Tun Perak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan menggunakan pengangkutan awam bagi meminimumkan kesesakan di pusat bandar serta mematuhi arahan anggota polis trafik bertugas di lokasi.
“Kerjasama dan keprihatinan semua pihak amat dihargai demi menjaga ketenteraman dan keselamatan bersama. Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana Balai Polis berhampiran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




