Dua penunggang motosikal maut, polis kesan pemandu lori tinggalkan lokasi kemalangan

Dua penunggang motosikal maut, polis kesan pemandu lori tinggalkan lokasi kemalangan

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Dua remaja maut selepas motosikal ditunggang masing-masing melanggar sebuah lori di Kilometer 60.5 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.24 pagi itu, mangsa, Muhammad Aisy Iqbal Hairolazuan, 18, dan Muhammad Aiman Farhan Halim, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan membabitkan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang dua mangsa dengan sebuah lori yang belum dikenal pasti.

“Mangsa yang menunggang motosikal secara berasingan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua motosikal didapati melanggar belakang sebuah lori.

“Lori sedang bergerak lurus ketika kemalangan terjadi. Berdasarkan saksi, semasa atau selepas kemalangan lori itu terus berjalan (meninggalkan lokasi kemalangan). Kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Yusof berkata, usaha mengesan pemandu lori sedang giat dijalankan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Fairuz Abd Malek 012-7415886,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top