Pelajar Tingkatan Enam maut bertembung van ketika pulang sekolah

Pelajar Tingkatan Enam maut bertembung van ketika pulang sekolah

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Perjalanan pulang pelajar Tingkatan Enam ke rumah bertukar tragedi apabila dia maut dalam nahas tiga kenderaan di jalan Kampung Tengah, Sabak Bernam, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, wanita berusia 19 tahun yang belajar di Kolej Tingkatan Enam Tunku Abdul Rahman Putra meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, kemalangan membabitkan dua motosikal iaitu Honda RS150 dan Yamaha 135LC serta van Ford Econovan.

“Kejadian berlaku apabila Honda RS150 melanggar bahagian belakang Yamaha 135LC yang ketika itu sedang memperlahankan kenderaannya untuk masuk ke simpang kiri jalan.

“Impak pelanggaran menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Ford Econovan,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Md Yusof berkata, penunggang motosikal kemudian terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis meminta saksi kejadian agar tampil menghubungi Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 bagi membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top