KUALA LUMPUR: Pelakon Norreen Iman mendedahkan dia dan bekas suaminya, Mohd Razzi Abd Razak sudah lama saling memaafkan sebelum perceraian mereka disahkan di mahkamah syariah, semalam.
Menurut Norreen, keputusan untuk berpisah bukan sesuatu yang dibuat secara terburu-buru, malah kedua-duanya memilih untuk menyerahkan segala ketentuan kepada Tuhan demi kebaikan bersama.
“Kami memang saling memaafkan walaupun sebelum pergi mahkamah lagi. Sebab kita tahu bila sampai tarikh ini, kita kena ada satu kefahaman yang kita kena serahkan segalanya pada Tuhan.
“Kami tak nak ada apa-apa yang disimpan dalam hati yang boleh menimbulkan hasad. Saya tak nak benda macam itu. Untuk kami berada dalam fasa ini pun, keputusan tak dibuat dengan mudah.
“Ia kena ada satu kefahaman bahawa inilah dia, inilah satu-satunya jalan. Jadi bila hakim dah putuskan kena kira daripada tahun lepas, kami terima. Tak ada rasa berat hati sangat. Tak mudah untuk sampai ke tahap ini tapi saya okey,” katanya.
Norreen berkata demikian ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana filem Kata Hati di ibu negara, semalam.
Dalam masa sama, pelakon itu turut mengesahkan status dirinya kini bukan lagi isteri kepada sesiapa selepas selesai tempoh edah.
“Jadi, semalam kami selesaikan segalanya. Segalanya yang kita tertanya-tanya apa yang berlaku, maksud saya, yang saya sendiri pun tak tahu lah kan.
“Status saya sekarang saya memang single lah. Bukan lagi isteri sesiapa dan saya dah lepas edah saya,” katanya.
Menurut Norreen, meskipun prosiding mahkamah berlangsung semalam, pengesahan lafaz cerai sebenarnya telah pun jatuh talak sejak hujung tahun lalu.
“Ia agak mengejutkan, baru hari ini pergi mahkamah tapi dah habis edah. Sebab sepertimana yang saya sebutkan, pengesahan lafaz cerai itu memang dah sah jatuh talak daripada tahun lepas lagi.
“Sebab lafaz pertama dibuat tahun lepas, jadi dah selesai edah macam itu. Itu hakim yang putuskan,” katanya.
Bagaimanapun, Norreen enggan mendedahkan tarikh sebenar lafaz dibuat selain hanya memaklumkan ia berlaku pada penghujung tahun lalu.
Mengulas mengenai spekulasi serta kecaman netizen terhadap rumah tangganya sebelum ini, Norreen menjelaskan tindakan membawa perkara itu ke mahkamah dibuat demi memastikan status dirinya jelas dari sudut agama.
“Saya sendiri pun, saya tak fikir orang dah. Benda ini saya buat untuk diri saya. Jadi sebab yelah, kita pun tak nak hidup dalam keadaan yang kita tak tahu boleh ke tak boleh dari segi status agama.
“Jadi untuk elakkan daripada apa-apa masalah dari segi agama, sebab itu kita rujuk ke mahkamah. Bila hakim dah putuskan, kita terima benda itu.
“Saya rasa mungkin Tuhan jentik hati kami sebab kami sudah lama tidak seumbumbung kan, jadi mungkin itu sebabnya lah,” katanya.
Menurutnya lagi, proses mahkamah mengambil masa panjang walaupun permohonan telah difailkan lebih awal.
“Dah lama kita failkan, cuma ia mengikut tarikh mahkamah. Sebab itu ia mengambil masa yang begitu lama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Norreen berkata dia dan Razzi sepakat untuk mengekalkan hubungan baik sebagai ibu bapa demi memastikan anak-anak mereka terus menerima kasih sayang sempurna meskipun tidak lagi tinggal bersama.
Katanya, mereka sudah mula melakukan proses transisi lebih awal supaya anak-anak tidak terkejut dengan perubahan yang berlaku.
“Anak okey. Sebab kita dah mula buat transisi supaya anak tak rasa jurang itu terlalu pantas. Tak nak mereka tertanya-tanya ‘Mana Baba?’.
“Jadi secara praktikalnya kita dah buat perubahan dari segi tempat tinggal berbulan-bulan yang lalu, jadi semuanya baik sahaja,” katanya.
Tambah Norreen, dia enggan anak-anak membesar dengan rasa kehilangan kasih sayang daripada ibu atau bapa seperti yang pernah dilaluinya ketika kecil.
“Ya, anak-anak dah faham dah. Cuma saya tak naklah anak faham Mommy dan Baba berpisah, lepas itu anak tak dapat kasih sayang sepertimana yang mereka patut dapat.
“Jadi kami kekal dengan tanggungjawab sebagai ibu bapa seperti yang pernah dibincangkan antara saya dan Razzi.Sekurang-kurangnya bila anak membesar dia tak rasa ‘Oh tak ada Baba, oh tak ada Mommy’.
“Saya tak nak macam itu sebab saya tahu macam mana rasanya membesar tanpa bapa. Jadi saya tak nak benda itu berulang pada anak saya selagi ibu bapa mereka masih ada,” katanya.




