'Orang dah tolong kita, perasaan itu tak tahu nak cakap macam mana'- Ebby Yus

'Orang dah tolong kita, perasaan itu tak tahu nak cakap macam mana'- Ebby Yus

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Dia ada cakap nak buka di Kampung Baru. Tapi dia tak cakaplah nak beri kepada saya. Saya pun tak tahu kawasan mana sebenarnya dia nak buat,” kata pelakon Ebby Yus mengenai kejutan yang diterimanya.

Pelakon veteran ini mengulas kejutan terhadapnya semalam, apabila pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro, menghadiahkan restoran yang baru dibukanya untuk diuruskan.

“Kelmarin Ajak ada datang rumah. Dia beritahu saya, kata nak bagi saya satu lagi tempat. Sebelum ini dia bagi saya uruskan kedai di Pasar Seni.

“Kalau ikutkan Ajak, dia tak bagi pun saya pergi kedai. Dia suruh saya pergi sebulan sekali sahaja. Tapi takkanlah saya nak buat macam itu pula kan. Orang dah tolong kita.

“Syukur…Alhamdulillah perasaan itu memang tak tahu nak cakaplah macamana. Saya masih lagi uruskan kedai di Pasar Seni. Kiranya dua kedai saya uruskan sekarang,” katanya kepada Harian Metro.

Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 60, berkata, dia bukanlah menguruskan tetapi lebih kepada membantu melayan pelanggan yang datang.

“Itu sajalah. Tempat ini dahulunya bekas sebuah restoran popular juga di Jalan Raja Abdullah dan kini dibuka oleh Ajak. Ini cawangan kedai Bumbu Babah yang ke-18. Alhamdulillah berkat dia bantu orang.

“Apa yang boleh kita samakan dengan nilai pertolongan orang? Tak ada. Jadi saya tak ada ayat, tak ada perkataan, nak gambarkan perasaan. Kata orang kita dah tak ada suara yang boleh kita ucap kecuali syukur.

“Di kedai ini mungkin dalam seminggu saya akan ada dua, tiga kali bergantung pada kesihatan saya. Ajak pun tak benarkan saya kerap datang kedai,” katanya.

Terdahulu Ebby sebelum ini sudah lama menderita masalah buah pinggang dan jantung serta menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kali terakhir pada Oktober lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top