Titah Adendum Najib akan diusahakan secepat mungkin – Ahmad Zahid

Titah Adendum Najib akan diusahakan secepat mungkin – Ahmad Zahid

am@hmetro.com.my

Kangar: Titah Adendum berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan diusahakan secepat mungkin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sudah bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan secara terperinci langkah yang akan dilakukan dalam mengangkat Titah Adendum berkenaan.

“Mengenai Titah Adendum, saya sudah bertemu dengan Perdana Menteri dan kami sudah mengadakan perbincangan secara terperinci kaedah perundangan yang harus diikuti dan Insya-Allah akan ada tindakan susulan yang akan dilakukan mengikut prosedur perundangan.

“Proses ini akan diusahakan secepat mungkin dan proses perundangan ini sangat bergantung kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong dan ini harus dihormati oleh kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kangar di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis dan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman.

Ahmad Zahid berkata, proses perundangan menerusi Titah Adendum itu juga akan melalui Lembaga Pengampunan.

“Langkah ini tetap akan melalui proses perundangan melalui Lembaga Pengampunan dan Pengerusi Lembaga Pengampunan ini adalah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top