Positifnya pembedahan robotik

Positifnya pembedahan robotik

asmaini@mediaprima.com.my

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada 10 wanita didiagnosis dengan endometriosis.

Ia adalah sejenis penyakit di mana tisu yang biasanya melapisi bahagian dalam rahim (endometrium) tumbuh di luar rahim seperti pada ovari, tiub fallopio atau organ lain di rongga pelvis.

Tisu ini bertindak seperti tisu rahim biasa ketika haid, ia akan pecah dan berdarah pada penghujung kitaran.

Gejala endometriosis boleh bersifat sederhana atau sangat serius.

Kelazimannya pesakit akan merasai sakit senggugut ketika haid, sakit pinggang, ketidaksuburan dan sakit ketika hubungan intim.

Selain itu, ada juga pesakit merasa sakit ketika membuang air kecil dan besar, sakit kronik di bahagian pelvis, kembung perut, loya, keletihan dan sebagainya.

Ia boleh berlaku pada mana-mana wanita dalam usia reproduktif termasuk remaja.

Jika tidak dirawat penyakit endometriosis boleh menyebabkan pelbagai cabaran dalam kehidupan harian.

Hari ini, terdapat beberapa rawatan dalam bentuk perubatan dan pembedahan yang mampu membantu mengurangkan simptom endometriosis serta mengawal sebarang komplikasi tambahan.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Kesuburan Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Thow Sun Ta, intervensi pembedahan tradisional menjadi kaedah utama untuk banyak pembedahan selama ini.

Walaupun berkesan pada tahap tertentu, ia juga mempunyai kelemahan yang ketara termasuk tempoh pemulihan yang panjang dan pembedahan itu sendiri agak kompleks.

Katanya, dalam laparotomi tradisional iaitu pembedahan terbuka untuk endometriosis contohnya, disebabkan sudut pandangan dan penglihatan yang terhad, pakar bedah sering mengalami kesukaran untuk membuang lesi endometriotik sepenuhnya.

“Sepanjang pengalaman saya, 90 peratus lesi endometriotik berlaku di bahagian belakang rahim yang menyukarkan pakar bedah untuk mengenal pasti kedudukannya sekiranya melakukan prosedur laparotomi konvensional.

“Namun, pembedahan dengan bantuan robotik menawarkan sokongan visual yang dipertingkatkan (seperti sudut berbilang dan penglihatan berkualiti tinggi) bagi membolehkan pakar bedah mengenal pasti lesi yang mungkin terlindung daripada penglihatan langsung dan tidak disedari,” katanya.

Justeru, pembedahan robotik menjadi pilihan lebih baik untuk prosedur invasif minimum terutamanya bagi menangani kes endometriosis yang lebih kompleks dan mencabar.

Secara umumnya, ia memberi harapan untuk beroleh hasil lebih baik dan kualiti hidup yang dipertingkatkan kepada wanita yang bergelut melawan penyakit berkenaan.

Tambahan pula, faktor tempoh pemulihan lebih singkat, komplikasi berkurangan, parut yang minimum dengan kurang kehilangan darah dan kesakitan menjadikan pembedahan dengan bantuan robotik sebagai pilihan rawatan yang sesuai untuk pesakit endometriosis.

Ia khususnya untuk kes membabitkan lesi yang kompleks dan tersembunyi.

Jelas Dr Thow, ia juga membolehkan pesakit kembali kepada gaya hidup yang normal lebih awal.

“Kami mempunyai ramai pesakit yang mengalami dismenorea yang teruk akibat endometriosis.

“Bagaimanapun, selepas menjalani pembedahan bantuan robotik, hampir semua pesakit menunjukkan kelegaan simptom sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, antara kelebihan pembedahan menggunakan bantuan robotik yang paling mengujakan ialah potensinya untuk mengekalkan kesuburan.

Ini kerana kata Dr Thow, endometriosis boleh memudaratkan organ-organ reproduktif dengan teruk.

“Sebagai contoh, ia boleh menjejaskan fungsi tiub fallopio, mengurangkan simpanan ovari dan mewujudkan persekitaran yang berlawanan untuk persenyawaan serta implantasi.

“Namun, pembedahan robotik boleh merawat penyakit ini dan memelihara fungsi organ berkenaan, sekali gus meningkatkan hasil kesuburan,” katanya.

Bagi menentukan kesesuaian untuk menjalani pembedahan dengan bantuan robot, ia bagaimanapun memerlukan proses yang teliti.

Meskipun mana-mana pesakit boleh dipertimbangkan, Dr Thow menekankan kesesuaian untuk melakukan pembedahan robotik adalah tertakluk kepada kes endometriosis yang memerlukan pembedahan terbuka.

Ia seperti endometriosis menyusup ke dalam iaitu satu keadaan endometriosis serius yang membabitkan pertumbuhan mendalam bagi tisu seakan-akan endometrium ke dalam struktur pelvis.

“Ia menyebabkan kesakitan yang teruk dan beberapa komplikasi lain atau tumor benigna yang besar iaitu ketumbuhan bukan kanser yang boleh berlaku di pelbagai bahagian badan serta berpotensi mencetuskan gejala disebabkan saiz dan lokasinya,” katanya.

Sementara itu, Dr Thow turut menjangkakan peningkatan dalam pembedahan robotik di seluruh negara terutamanya bagi penyakit yang mencabar seperti endometriosis.

Kata beliau, di sebalik cabaran yang ada, pakar bedah baharu giat dilatih untuk mengguna pakai kaedah robotik dalam pembedahan, sekali gus menggalakkan pertambahan tenaga pakar yang diperlukan untuk mengendalikannya.

“Disebabkan ketepatan dan sifat invasif minimumnya, pembedahan robotik mungkin menjadi pilihan bagi rawatan yang lebih kompleks.

“Walaupun jarang berlaku salah tanggapan mengenai pembedahan bantuan robotik, namun kosnya mungkin lebih tinggi berbanding kaedah tradisional,” katanya.

Menurut Dr Thow lagi, walaupun kebolehcapaian pembedahan dengan bantuan robotik adalah terhad pada masa ini, beliau meramalkan bahawa robotik akan memainkan peranan yang lebih besar dalam pembedahan selain fungsi sokongan.

Ini kerana ia berpotensi untuk memberikan potongan yang lebih tepat, memendekkan masa pembedahan dan mengurangkan kemungkinan komplikasi.

Kata beliau, dalam sesetengah kes juga, pesakit berasa lebih yakin apabila prosedur mereka membabitkan robotik terutamanya bagi prosedur yang lebih kompleks.

Namun, katanya, sudah tentu, keputusan untuk memilih sama ada pembedahan robotik atau tradisional akan dibuat secara kolaboratif antara pesakit dan doktor.

“Ia mengambil kira semua pilihan yang ada dan keadaan individu terbabit .

“Apabila semakin banyak teknologi inovatif digunakan dalam prosedur pembedahan, ia secara tidak langsung boleh mempersiapkan pengamal penjagaan kesihatan profesional untuk bertindak dan menguruskan kes yang lebih rumit dengan lebih baik.

“Ia sekali gus menyediakan penjagaan kepada lebih ramai pesakit dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top