rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, saya panjatkan syukur kepada Allah dan terima kasih banyak kepada yang membantu,” kata mutawif Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi atau dikenali PU Abu, mengenai individu yang membantu menguruskan penerbangan pulang jemaah umrah ke Malaysia.
Abu Sufyan bersama 42 jemaah umrah terkandas di Jeddah, Arab Saudi, sejak kelmarin selepas tidak disediakan tiket penerbangan pulang oleh agensi pelancongan yang menguruskan ibadah umrah kumpulan jemaah terbabit.
Menurutnya, ada beberapa individu menghubunginya untuk membantu dan Ustaz Firdaus Firabib menyatakan kesediaan membantu membelikan tiket penerbangan pulang termasuk menanggung segala kos penginapan jemaah.
“Empat jemaah sudah beli tiket penerbangan sendiri, jadi sekarang berbaki 39 jemaah lagi yang belum pulang.
“Alhamdulillah, Ustaz Firdaus membantu meringankan beban kami dari segi kos penginapan dan tiket penerbangan. Ustaz sedang berusaha membantu apa yang patut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu tiket dan jadual penerbangan pulang ke Malaysia yang sedang diuruskan oleh pihak Ustaz Firdaus.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, seramai 43 jemaah umrah terkandas di Jeddah, Arab Saudi, selepas agensi pelancongan dikatakan gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia kepada semua jemaah terbabit.
Abu Sufyan dilaporkan berkata, jemaah berusia antara 20 hingga 60 tahun terpaksa bermalam di sebuah apartment berhampiran selepas tidak dapat menaiki penerbangan seperti dijadualkan.
Menurutnya, mereka yang menggunakan pakej umrah daripada sebuah agensi pelancongan tiba di tanah suci berkenaan pada 16 Julai lalu dan dijadualkan pulang ke Malaysia pada 26 Julai.
Namun, katanya, jemaah tidak dapat pulang kerana tiada tiket penerbangan dan terpaksa bermalam di Jeddah tanpa mengetahui nasib mereka seterusnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




