
Hantaran Hun Manet di Facebook pada Ahad.
PHNOM PENH – Perdana Menteri Kemboja Hun Manet akan mengetuai delegasi ke Malaysia pada Isnin bagi menghadiri rundingan damai dengan pengantaraan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengumuman itu dibuat Hun Manet menerusi hantaran di Facebook lewat malam Ahad.
“Saya akan mengetuai delegasi Kemboja ke mesyuarat khas di Kuala Lumpur yang dianjurkan Malaysia.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas inisiatif dan usaha menyelaras penganjuran mesyuarat ini,” katanya.
Hun Manet dijangka mengadakan rundingan peringkat tinggi dengan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak susulan konfrontasi bersenjata antara kedua-dua negara.
Mesyuarat dijadual berlangsung di Putrajaya pada Isnin 3 petang.
Anwar, yang juga Pengerusi ASEAN minggu lalu mencadangkan satu perjanjian damai antara kedua-dua pihak susulan konflik sempadan yang tercetus baru-baru ini.
Ketegangan mula meningkat sejak insiden pada 28 Mei apabila pasukan tentera Kemboja dan Thailand bertempur di kawasan Preah Vihear.
Selama beberapa dekad, kedua-dua negara anggota ASEAN itu terlibat dalam pertikaian berpanjangan berkaitan sempadan sepanjang 817 kilometer yang masih belum dimuktamadkan.
Namun, situasi bertukar menjadi konflik berdarah di utara Kemboja minggu lalu.
Di sepanjang sempadan dalam wilayah Kemboja, krisis kemanusiaan semakin meruncing dengan lebih 80,000 penduduk terpaksa dipindahkan susulan pertempuran yang berlarutan hujung minggu lalu.
Menurut Kementerian Pertahanan Negara, lima anggota tentera dan lapan orang awam terkorban setakat ini.
Kedua-dua pihak yang sebelum ini menunjukkan sikap bermusuhan akhirnya bersetuju untuk berunding susulan tekanan memuncak daripada masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS).
Pada Sabtu, Presiden AS Donald Trump memaklumkan bahawa kedua-dua kerajaan bersetuju untuk mengadakan rundingan bagi membincangkan pelaksanaan gencatan senjata dalam masa terdekat. – Bernama