'Bukan hari Penang FC'

'Bukan hari Penang FC'

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha enggan menyalahkan pemainnya susulan kekalahan 1-3 skuad Harimau Kumbang di tangan Kuala Lumpur City (KL City) FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam.

Mengakui tidak dapat menyenaraikan barisan kesebelasan utama terkuat, Trucha menyifatkan kekalahan itu menjadi motivasi kepada pasukannya untuk bangkit pada perlawanan seterusnya menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) hujung minggu ini.

“Kami tidak sekuat sebelum ini kerana kehilangan beberapa pemain, jadi kami perlu lakukan proses pemulihan dan fokus untuk perlawanan seterusnya.

“Kami sudah cuba yang terbaik, tapi hari ini bukan hari kami seperti sebelum ini. Saya sudah katakan sebelum perlawanan, menentang Kuala Lumpur bukan mudah, ia perlawanan yang bagus.

“Saya fikir ia boleh jadi motivasi untuk bangkit kerana kami mempunyai persembahan yang baik separuh musim dan pusingan kedua bermula.

“Ya, kami kalah, sekarang kami ada perlawanan yang sukar, tapi saya percaya ia menjadi motivasi kepada pemain untuk bangkit menjadi lebih kuat,” katanya selepas perlawanan.

Kemenangan KL City menyaksikan rekod tanpa kalah Penang lebur selepas sembilan perlawanan dengan kali terakhir anak buah Trucha merasai kekalahan pada 9 Mac lalu ketika tunduk kepada JDT.

Sementara itu, pengendali KL City, Bojan Hodak memuji persembahan anak buahnya terutama kapten skuad City Boys, Paulo Josue yang meledak hatrik pada perlawanan itu.

“Paulo memiliki sepakan percuma yang baik dan itu sebab kenapa kami kekalkan dia, dia sangat bahaya pada situasi bola mati.

“Dia bermain dengan bijak, selain Romel (Morales) bekerja keras dan membuka ruang. Dia (Paulo) menggunakan ruang itu selain berada tepat pada masanya dan dia menjaringkan tiga gol. Tapi sejujurnya patut dapat satu atau dua gol lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top