Pelakon popular, Zara Zya mencuri perhatian warganet apabila berkongsi pengalaman lucu disangka memakai susuk gara-gara keputusan imbasan X-ray di sebuah klinik baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 39, memuat naik sekeping gambar X-ray yang memaparkan objek seakan-akan jarum tajam di bawah bahagian pipinya.
“Beria doktor suruh staf semua keluar bilik dan dia pun mulalah susun ayat untuk bertanya pada saya. Dia bisik, ‘dulu ada pakai susuk ke?’. Pening saya fikir, bila pula saya buat benda tu?,” katanya
Zara turut kemudian menjelaskan objek yang dilihat dalam X-ray tersebut adalah pin daripada prosedur pembedahan yang pernah dilaluinya sebelum ini.
“Saya cakap pada dia itu pin sebab saya buat pembedahan dari pipi ke leher. Tetapi, lepas saya dah jelaskan pun dia macam antara nak percaya atau tak,” katanya.
Tambah Zara, doktor tersebut turut berkongsi pernah menerima pesakit lain yang mengaku memakai susuk selepas X-ray menunjukkan imej serupa namun dalam jumlah yang lebih banyak.
“Paling kelakar, dari elok dia pasang lagu Sheila On 7, terus tukar zikir. Ingat saya hantu ke?” selorohnya.
Perkongsian bersahaja Zara itu mengundang tawa dalam kalangan pengikutnya yang rata-rata terhibur mendengar kisah tersebut.





