APABILA menyebut Negeri Sembilan, kebanyakan kita pasti membayangkan Seremban sebagai ibu negerinya, seni bina berinspirasikan Minangkabau serta budaya Adat Perpatih yang menjadi identiti negeri itu.Selain itu, Negeri Sembilan juga sering dikaitkan sebagai negeri komuter, dengan ribuan penduduk berulang-alik ke Kuala Lumpur setiap hari untuk bekerja.Suatu ketika dahulu, pemandangan bas Seremban-Kuala Lumpur-Seremban (SKS) memenuhi Lebuhraya PLUS, manakala perkhidmatan komuter menjadi nadi pengangkutan harian masyarakat.Namun, landskap itu kini semakin berubah. Negeri Sembilan bukan lagi sekadar negeri untuk pulang pada hujung minggu, sebaliknya semakin menjadi destinasi pilihan untuk tinggal, bekerja dan membina masa depan.Perubahan ini dapat dilihat menerusi data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Negeri Sembilan merekodkan migrasi bersih positif seramai 6,500 orang pada tahun 2022, meningkat daripada hanya 1,500 orang pada tahun 2020. Ringkasnya, semakin ramai memilih untuk berpindah masuk ke negeri ini berbanding keluar.Persoalannya, apakah faktor yang menjadikan Negeri Sembilan semakin menarik?Salah satu faktor utama ialah kemampuan memiliki rumah. Pada suku pertama 2026, purata harga rumah di Negeri Sembilan ialah RM333,224, jauh lebih rendah berbanding Kuala Lumpur (RM826,980) dan Selangor (RM570,476).Memandangkan penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor menikmati pendapatan yang lebih tinggi berbanding penduduk Negeri Sembilan, berpindah ke negeri ini dilihat sebagai satu keputusan yang lebih menguntungkan dari sudut ekonomi. Mereka bukan sahaja dapat memiliki rumah pada harga yang lebih mampu milik, malah masih menikmati pendapatan yang tinggi.Untuk rekod, gaji median setakat Disember 2025 di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing ialah RM4,391, RM3,400 dan RM2,664. Tidak hairanlah kawasan seperti Nilai, Seremban, Seremban 2 dan Sendayan semakin menjadi pilihan, khususnya bagi mereka yang bekerja di Lembah Klang tetapi mengutamakan kualiti hidup yang lebih baik.Namun, kelebihan dari segi kos semata-mata tidak mencukupi untuk menjamin pertumbuhan jangka panjang. Negeri Sembilan kini memasuki fasa pembangunan baharu apabila berjaya menarik pelaburan berjumlah RM19.1 bilion pada tahun lalu, iaitu rekod tertinggi dalam sejarah negeri.Lebih penting, pelaburan tersebut tertumpu kepada sektor bernilai tambah tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), teknologi maklumat, bahan kimia, pembuatan berteknologi tinggi serta ekonomi digital.Momentum ini turut diperkukuhkan melalui pembangunan pusat data dan NS Semiconductor Valley. Perkembangan ini memberi isyarat bahawa Negeri Sembilan bukan lagi sekadar sebuah negeri perindustrian, malah sedang membina kedudukannya sebagai hab teknologi yang melengkapi ekosistem ekonomi Lembah Klang dan Johor.Namun begitu, ukuran sebenar kejayaan bukanlah terletak pada nilai pelaburan yang diumumkan semata-mata. Yang lebih penting ialah sejauh mana pelaburan tersebut dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, pemindahan teknologi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peningkatan produktiviti serta pembentukan rantaian bekalan tempatan yang lebih kukuh.Pada masa yang sama, lebih ramai anak Negeri Sembilan perlu diberi peluang membina kerjaya berkualiti di negeri sendiri.Jika strategi ini dapat dilaksanakan secara konsisten, Negeri Sembilan tidak lagi akan dikenali sebagai negeri yang bergantung kepada Lembah Klang.Sebaliknya, negeri ini berpotensi muncul sebagai sebuah ekonomi yang mempunyai identiti tersendiri, berdaya saing, berteknologi tinggi dan menjadi pilihan rakyat untuk tinggal, bekerja serta membina masa depan.*Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad



