mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Usahawan dan selebriti, Asyraf Khalid, 33, kecewa dengan tindakan seorang pempengaruh yang ‘menyerang’ peribadinya.
Ia berikutan penyiaran ‘teaser’ temubual Asyraf dengan seorang individu beberapa hari lalu yang akan dimuatkan menerusi podcast Apa Cerita, miliknya.
“Dalam teaser tersebut, identiti tetamu didedahkan. Namun selepas dimuat naik, seorang pempengaruh menerbitkan beberapa hantaran menyerang saya secara terbuka kerana katanya tetamu berkenaan terbabit dengan pelbagai tuduhan kekerasan,” katanya.
Asyraf berkata, tindakan ini mencetuskan gelombang serangan berbentuk fitnah, penghinaan keterlaluan dan tohmahan yang menggugat maruahnya.
“Saya cuba berhubung dengannya secara peribadi bagi bercerita situasi sebenar dan pada masa sama, saya bersama pasukan mengambil keputusan tidak menyiarkan episod ini demi meredakan keadaan dan menjaga sensitiviti semua pihak,” katanya ditemui pada sidang media tergempar bersama peguam Abdul Hakeem Aiman di pejabat Wan Shahrizal, Hari & Co, di sini, hari ini.
Asyraf agak kecewa kerana pempengaruh terbabit terus menyerangnya dan pada masa sama membuka ruang buat netizen untuk turut sama mengecamnya.
“Saya juga sudah buat satu laporan polis di Balai Polis, Pudu, semalam dan juga sedang mempertimbangkan untuk ambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang terbabit.
“Kami dulu pernah berkawan, jadi kami kenal satu sama lain dan pernah bekerjasama. Apa yang saya sedih, kenapa dia masih serang saya walaupun saya takkan siarkan temubual itu?
“Sampai dia kaitkan saya dengan ‘pedo’ , perogol sedangkan saya tak sokong benda itu. Apa yang berlaku sangat mengganggu emosi
saya. Sampai orang ingat saya ini perogol, ‘pedo’. Ada yang panggil budak gemuklah. Dia sebut saya anak Datuk K, sampai orang serang keluarga saya,” katanya.
Menurut, dia sudah biasa berdepan kecaman dan tohmahan dari netizen tetapi kali ini paling teruk diterima sehingga memaksa dia menjelaskan perkara sebenar kepada rakan kongsi dan penaja.
Sementara itu Abdul Hakeem berkata, pihak mereka sedang dalam proses memfailkan saman fitnah terhadap individu terbabit.
“Kami percaya ini satu perkara wajar untuk dijelaskan oleh Asyraf, tetapi bukan menerusi media sosial.
“Hasil perbincangan, satu tindakan sivil di bawah undang-undang fitnah akan difailkan dalam masa terdekat.
“Namun, kami tidak akan mengulas lanjut berkenaan tindakan undang-undang tersebut demi menghormati proses kehakiman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




