Kerajaan akan pantau berkala, lawatan mengejut pelaksanaan projek bawah RMK13

Kerajaan akan pantau berkala, lawatan mengejut pelaksanaan projek bawah RMK13

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Pemantauan secara berkala dan lawatan mengejut akan dijalankan bagi mengawasi pelaksanaan semua projek bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) seperti disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 pada Khamis lalu, akan dibuat bersama antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

“Kita ada pelaporan berkala. Kalau tak salah saya, setahun akan dua kali buat pelaporan.

“Jadi kali ni kita akan betul-betul pastikan bahawa perjalanannya seperti mana yang dirancang sebab ia membabitkan tempoh yang panjang sampai 2030.

“Saya akan buat (pemantauan berkala). Saya akan buat selalu. Saya akan buat lawatan mengejut dan lawatan tapak projek,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-20 (MAPPA XX), di Daratan Putrajaya, di sini, pagi ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Perdana Menteri ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat dilaporkan berkata mekanisme pemantauan RMK13 akan ditambah baik melalui sistem PPD, manakala struktur tadbir urus RMK13 pula akan digerakkan secara berperingkat, sehinggalah pelaporan ke Jemaah Menteri.

Shamsul Azri berkata, pihaknya juga mahu penjawat awam memastikan semua projek yang diluluskan, segera dilaksanakan.

Mengakui setiap projek mempunyai jadual pelaksanaannya, beliau berkata, kelewatan projek dirancang Kerajaan akan hanya menghampakan rakyat yang seharusnya mendapat manfaat daripadanya.

“Tujuan kita ni berkhidmat untuk rakyat. Kita sepatutnya menggembirakan rakyat.

“Jadi kita kena jalankan pembangunan tu dengan segera. Tidak boleh berlengah dan tanpa birokrasi,” katanya.

Antara projek besar yang bakal dilaksanakan melalui RMK13 termasuk pembinaan dan naik taraf jalan luar bandar sepanjang 2,800 kilometer di Sarawak, Perak dan Pahang.

Selain itu, inisiatif ‘road-to-rail’ bagi memindahkan pergerakan kargo daripada jalan raya ke landasan, mengurangkan risiko kemalangan jalan raya; dan projek infrastruktur bagi memperkukuh keterhubungan dan ekonomi rentas sempadan.

Ia juga meliputi projek menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Rantau Panjang; serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sabah dan Sarawak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top