Penerbangan terus HK Express Airways (HK Express) antara Hong Kong-Kuala Lumpur bermula semalam merupakan petunjuk hubungan pelancongan yang semakin utuh dan berkembang di antara Malaysia dan Hong Kong.
Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Samuel Lee berkata, penerbangan terus itu juga akan membantu usaha pihaknya untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan serantau.
Bagi pihak Tourism Malaysia, beliau turut mengalu-alukan penerbangan terus itu yang merupakan pencapaian penting ke arah memperkukuhkan jaringan penerbangan.
“Laluan baharu ini mencerminkan hubungan pelancongan yang kukuh dan semakin berkembang antara Malaysia dan Hong Kong, serta menyokong usaha berterusan kami untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama di rantau ini.
“Kami teruja untuk menyambut lebih ramai pelawat bagi meneroka pelbagai pengalaman menarik yang ditawarkan oleh Malaysia,” katanya dalam kenyataan Tourism Malaysia.

Penerbangan terus sulung HK Express yang merupakan syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka Hong Kong itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, semalam.
Penerbangan terus antara Kuala Lumpur-Hong Kong itu merupakan destinasi kedua HK Express yang juga ahli Kumpulan Cathay di negara ini susulan kejayaan laluan ke Pulau Pinang.
Majlis sambutan ketibaan penerbangan UO716 itu turut diserikan dengan kehadiran Samuel serta pegawai kanan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Turut menaiki penerbangan sulung berkenaan ialah wakil HK Express, Rosita Tsang bersama selebriti popular TVB iaitu Tam Fai Chi dan Che Yuen Yuen.
Penerbangan berkenaan disewa khas oleh Wing On Travel dengan membawa peminat sebagai sebahagian daripada sambutan berkonsepkan pelancongan dan hiburan — bukti jelas kepada daya tarikan pelancongan berasaskan peminat yang semakin meningkat.
Syarikat berkenan menawarkan dua penerbangan terus pada setiap hari dengan penerbangan pertama dari Hong Kong pada pukul 4.35 petang diikuti penerbangan kedua dari Subang pada pukul 9.30 malam.
Sementara itu, Tourism Malaysia dalam kenyataan yang sama menjelaskan HK Express kini akan mengendalikan penerbangan terus setiap hari antara Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan Lapangan Terbang Subang menggunakan pesawat moden Airbus A321.
Katanya, pesawat dengan 182 tempat duduk itu menawarkan lebih kemudahan dan fleksibiliti perjalanan kepada penumpang.
“Terletak hanya 30 minit dari pusat bandar Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Subang menyediakan akses pantas ke tarikan utama seperti Menara Berkembar Petronas, Bukit Bintang serta pelbagai lokasi makanan dan budaya yang meriah di ibu negara,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Tourism Malaysia berkata laluan baharu itu juga meningkatkan kesalinghubungan untuk pelancong perniagaan dan pengembara serantau yang mencari akses cepat dan terus ke pusat bandar serta lokasi budaya Malaysia.
Katanya, penerbangan terus Hong Kong-Kuala Lumpur dijangka merangsang lagi pelancongan dua hala dan kerjasama ekonomi.
“Ia juga menyokong kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) yang menyasarkan peningkatan ketibaan dari pasaran strategik seperti China dan Hong Kong.
“Dari Januari hingga Jun 2025, Malaysia telah menerima 2.17 juta pelawat dari China — peningkatan ketara sebanyak 35.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024, menandakan pemulihan dan permintaan pasaran yang kukuh,” tegasnya.




