
Wajah lelaki itu kelihatan mirip seperti Elon Musk versi berkulit gelap. Foto Agensi
NAIROBI – Seorang lelaki Kenya berusia 40 tahun mencetuskan kekecohan dalam talian apabila mendakwa dirinya sebagai anak sulung kepada jutawan teknologi Elon Musk, namun dakwaan itu dengan pantas dipatahkan oleh pengguna media sosial yang mengesan pelbagai kepincangan fakta dan manipulasi imej menggunakan Kecerdasan Buatan (AI).
Lelaki berkenaan, yang hanya dikenali sebagai seorang ‘aktivis kesihatan mental’, mendakwa ibunya bertemu Musk sekitar awal 1990-an semasa bekerja di sebuah hotel di Masai Mara, Kenya. Dia turut menuntut ujian DNA sebagai bukti hubungan tersebut.
Namun netizen segera membongkar kelemahan utama dalam cerita itu, berdasarkan usia, Elon Musk yang kini berusia 54 tahun, hanya berumur 14 tahun ketika lelaki tersebut dilahirkan sekali gus menjadikan dakwaan itu secara logik tidak masuk akal.
Tambah mencurigakan, hanya satu gambar digunakan dalam dakwaan tersebut tanpa nama penuh, tanpa lokasi semasa, malah gambar berkenaan didapati mempunyai kecacatan visual yang sering dilihat dalam imej dijana AI, termasuk perincian pakaian yang kabur serta latar belakang yang tidak konsisten.
Beberapa pengguna media sosial turut mendedahkan bahawa gambar sama pernah tular lebih awal di laman Rusia sekitar Mac 2024, dipercayai sebahagian daripada trend menggunakan AI untuk mencipta versi berkulit hitam tokoh terkenal berkulit putih.
Kisah rekaan itu menjadi peringatan tentang kebanjiran kandungan palsu era digital, di mana teknologi AI semakin digunakan untuk menghasilkan cerita, imej, malah identiti yang seolah-olah meyakinkan tetapi sebenarnya rekaan semata-mata.
Fenomena ini dikaitkan dengan teori “Dead Internet”, iaitu kebimbangan bahawa sebahagian besar kandungan dalam talian kini dikawal oleh bot dan sistem automatik yang mengaburkan batas antara realiti dan fantasi.
Walaupun ramai melihat kisah ini sebagai satu bahan jenaka di internet, ada juga yang menganggapnya sebagai petanda bahaya bahawa masa depan digital mungkin akan dipenuhi lebih banyak tipu helah yang sukar dipisahkan daripada kebenaran.
“Hari ini kita gelak, esok belum tentu,” kata seorang pengguna di platform X secara sinis.-Agensi