Pandelela tekad gegar Olimpik Tokyo Julai ini

Pandelela tekad gegar Olimpik Tokyo Julai ini

sukhairi@bh.com.m

KUALA LUMPUR: Penerjun sensasi negara, Pandelela Rinong tekad untuk kembali berada di pentas podium Sukan Olimpik Tokyo pada Julai ini seperti pernah dicapainya pada temasya sama di Rio 2016 dan London 2012.

Malah dia yang meraih emas dalam acara 10 meter (m) platfrom individu pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo kelmarin menaruh harapan untuk melakukan terjunan peribadi terbaik dalam dua acara disertai nanti iaitu individu dan seirama.

“Sudah tentu, saya mahpsmu berada di podium di Sukan Olimpik tetapi saya juga mahu melakukan terjunan peribadi terbaik saya dalam kedua-dua acara, seirama dan individu,” katanya ketika mengulas kejayaannya di Pusat Akuatik Tokyo itu.

Pandelela, 28, memenangi pingat emas dalam acara berkenaan selepas melakukan terjunan bertenaga dan kemas dalam tujuh pusingan untuk mengumpul 355.70 mata. Penerjun tuan rumah, Matsuri Arai di tempat kedua dengan 342.00 mata manakala Caeli McKay dari Kanada melengkapkan pentas podium dengan 338.55 mata.

Penerjun dari Sarawak itu pernah memenangi pingat perak pada Olimpik Rio 2016 dan gangsa di London pada 2012.

“Saya sangat gembira yang saya lebih konsisten di final,” kata Pandelela ketika mengulas lanjut kejayaannya itu.

“Dalam pusingan kelayakan, saya melakukan tiga kesilapan dalam terjunan dan di separuh akhir, saya melakukan dua kesilapan. Jadi ia sesuatu yang sangat baik apabila saya mampu konsisten di final,”.

Sebelum itu, seorang lagi wakil negara dalam acara berkenaan, Cheong Jun Hoong terkandas di pusingan separuh akhir.

Jun Hoong yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik dalam acara berkenaan selepas mara ke separuh akhir semalam, melengkapkan saingan itu di tempat ke-18. Dia merekodkan 237.35 mata manakala Pandelela di tangga ketika terbaik dengan 333.00 mata.

Sementara itu, Pandelela turut berkesempatan bertemu seteru lamanya di Pusat Akuatik Tokyo iaitu bekas penerjun China, Chen Ruo Lin yang pernah meraih lima emas di temasya Olimpik.

Katanya, pertemuan kali ini berbeza dengan Ruo Lin yang bersara pada 2016 susulan kecederaan leher kini mempunyai karier baharu sebagai jurulatih dan pengadil.

“Kawan lama saya, dulu seorang lawan. Kami pernah bersaing bersama sejak 2008 hingga 2016. Sekarang dia seorang jurulatih dan pengadil di kejohanan ini manakala saya masih terjun dan melihat dia sebagai satu sumber inspirasi,” kata Pandelela.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top