nfazlina@nstp.com.my
Rantau Panjang: Penyanyi dikir barat Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan bersama rakannya Nur Aida Mamat masih berada di Balai Polis Rantau Panjang untuk diambil keterangan.
Sehingga jam 8.50, kelibat Eda Ezrin dan rakannya belum kelihatan dan sehingga kini sudah satu jam mereka diambil keterangan selepas tiba di balai berkenaan.
Pada masa sama, seramai lebih 50 termasuk ahli keluarga dan pengamal media berada di luar Balai Polis Rantau Panjang bagi menunggu mereka keluar.
Anggota polis juga kelihatan mengawal ketat bagi mengelak keluarga dan pengamal media masuk ke perkarangan balai polis.
Terdahulu, Eda Ezrin dan Nur Aida tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang jam 7.15 petang selepas dihantar oleh kakitangan Pejabat Imigresen Sungai Golok.
Semalam media melaporkan Eda Ezrin bersama suami dan empat rakannya dibebaskan dari Penjara Pusat Narathiwat selepas lebih sembilan bulan ditahan.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti untuk merayu kes berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd