FGV perkenal pelbagai inisiatif, produk baharu

FGV perkenal pelbagai inisiatif, produk baharu

FGV Holdings Berhad (FGV) terus memperkukuh kedudukannya sebagai pemacu ekonomi luar bandar dan rakan pembangunan nasional menerusi penganjuran Festival FGV 2025, di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, baru-baru ini.

Festival berlangsung dari 30 Julai hingga 3 Ogos sempena Hari Peneroka FELDA di Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) itu, berjaya menarik lebih 2.1 juta pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman berkata, FGV turut memperkenalkan pelbagai inisiatif dan produk baharu yang menandakan kemajuan teknologi dan penjenamaan syarikat.

Katanya, festival itu memperlihatkan strategi menyeluruh FGV dalam memperkukuh hubungan rantaian nilai bersama peneroka FELDA, kelompok yang menyumbang lebih 70 peratus kepada bekalan buah tandan segar (BTS) FGV.

“Peneroka FELDA bukan sekadar pembekal kepada FGV. Mereka adalah rakan kongsi strategik dalam membina masa depan syarikat dan industri.

“Komitmen kami dalam transformasi ini memerlukan hubungan yang saling memperkukuh,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, FGV turut memperkenalkan produk pengguna baharu antaranya SAJI Kerisik, SAJI Bihun (bebas gluten), Beras SAJI Aroma, dan pek mini SERI PELANGI.

Selain itu, inovasi perladangan seperti Mesin TaburTani dan SemburTani serta kenderaan kuasa elektrik B3’S untuk kecekapan ladang turut diperkenalkan di festival terbabit.

FGV turut melancarkan aplikasi FGV EduGames, permainan mudah alih pertama dunia yang memfokus kepada pendidikan agrolestari, sejajar dengan agenda ESG dan usaha mendekatkan industri kepada generasi muda melalui gamifikasi pendidikan.

Fakhrunniam berkata, produk pengguna FGV bukan sekadar jenama di rak-rak pasar raya, tetapi disepadukan dalam gaya hidup rakyat Malaysia.

“Kami mahu kekal sebagai ‘teman kulinari’ yang dipercayai, halal dan berkualiti,” katanya.

Kemuncak festival turut menyaksikan acara hiburan dan cabutan bertuah FGV Hujan Emas dengan hadiah bernilai RM100,000 termasuk motosikal elektrik dan pakej percutian Felda Travel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top