Los Angeles: Bekas suami dan pengurus penyanyi, Kelly Clarkson iaitu Brandon Blackstock, 48, disahkan meninggal dunia hari ini selepas bertarung dengan melanoma, sejenis kanser kulit yang serius.
Menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan keluarga mendiang, mereka reda dengan pemergian itu dan memohon ruang privasi daripada orang ramai serta berterima kasih kepada semua yang ambil berat.
“Dengan rasa dukacita yang mendalam, kami berkongsi berita pemergian Brandon Blackstock. Brandon sudah berjuang dengan berani melawan kanser selama lebih tiga tahun.
“Dia meninggal dunia dengan tenang di sisi ahli keluarganya. Kami berterima kasih atas ingatan dan doa anda, dan memohon semua pihak menghormati privasi keluarga pada waktu amat sukar ini,” katanya.
Mendiang dilaporkan sudah ada tanda-tanda berhadapan dengan masalah kesihatan serius sebelum ini.
Clarkson pernah mengumumkan penangguhan siri konsert residensinya di Las Vegas atas sebab isu kesihatan bekas suaminya. Dia menjelaskan dia perlu berada di sisi anak-anak mereka.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, khabar angin bertiup kencang mengatakan Clarkson akan meninggalkan program bual bicaranya, The Kelly Clarkson Show kerana kerap tidak hadir.
Bagaimanapun, dia sebenarnya banyak ‘ponteng’ ke program itu disebabkan urusan mengenai penyakit yang dihidapi Blackstock.
Difahamkan, semua kakitangan produksi rancangan itu pun mengetahui penyakit Blackstock. Namun, mereka menyimpan rahsia itu sebagai tanda hormat terhadap privasi Clarkson dan Blackstock sekeluarga.
Blackstock dan Clarkson berkahwin pada 2013 dan dikurniakan dua anak iaitu River, 10, and Remy, 8, hasil perkongsian hidup mereka.
Clarkson pernah mendedahkan bahawa Blackstock adalah orang yang meyakinkannya untuk menjadi hos program bual bicaranya sendiri. Pasangan terbabit bercerai pada 2022.
Selain dikenali sebagai bekas suami Clarkson, Blackstock juga seorang pengurus artis yang berjaya. Dia memulakan kerjayanya di syarikat milik bapanya, Starstruck Entertainment.
Mendiang pernah menguruskan nama-nama besar seperti Blake Shelton dan kumpulan Rascal Flatts.
© New Straits Times Press (M) Bhd