Barcelona mahu kekal Pena, Chelsea sedia labur RM307 juta rebut bintang muda

Barcelona mahu kekal Pena, Chelsea sedia labur RM307 juta rebut bintang muda

Madrid: Barcelona dijangka memperbaharui kontrak penjaga gol simpanan mereka, Inaki Pena, sebelum melepaskannya secara pinjaman musim panas ini bagi memberi ruang kepada pemain itu mendapatkan minit permainan lebih konsisten.

Langkah itu diambil susulan kedatangan dua penjaga gol baharu, Joan Garcia dan Wojciech Szczesny, yang kini menjadi pilihan utama Xavi untuk mengisi posisi utama di gawang Blaugrana musim 2025/2026.

Menurut laporan Mundo Deportivo, pengurusan kelab mahu menyambung kontrak Pena yang akan tamat tidak lama lagi, dengan tempoh lanjutan dijangka sehingga Jun 2026 bagi membolehkan kelab mengekalkan hak milik pemain itu selepas tempoh pinjaman tamat.

Pada masa sama, ia juga strategi Barcelona untuk memastikan kelab kekal mematuhi peraturan Kewangan Adil (FFP) yang masih lagi membelenggu pengurusan kewangan kelab Catalan itu sejak beberapa musim lalu.

Dalam satu lagi perkembangan, Chelsea dilaporkan bersedia mengemukakan tawaran lumayan bernilai €60 juta bersamaan kira-kira RM307 juta bagi mendapatkan khidmat pemain tengah muda sensasi, Fermin Lopez, dari Barcelona.

Pemain berusia 21 tahun itu mencuri perhatian musim lalu apabila meledak lapan gol dan menyumbang 10 bantuan jaringan dalam semua kejohanan, sekali gus menjadi antara aset muda paling bernilai di Nou Camp ketika ini.

Walaupun Barcelona enggan melepaskan Lopez, desakan kewangan dan tawaran besar dari kelab Liga Perdana Inggeris itu mungkin membuatkan mereka terpaksa berlembut dan membuka rundingan.

Setakat ini, pengarah sukan Deco belum memberikan sebarang maklum balas rasmi, namun laporan menyebut Chelsea bersedia menaikkan tawaran andai rundingan mula menunjukkan perkembangan positif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top