Bola sepak persahabatan MUAFAKAT MRSM Kukla kukuh perpaduan, silaturahim

Bola sepak persahabatan MUAFAKAT MRSM Kukla kukuh perpaduan, silaturahim

Bangi: Perlawanan bola sepak persahabatan pasukan Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (MUAFAKAT) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang (Kukla) berdepan MUAFAKAT MRSM Gemencheh mencapai matlamat mengukuhkan perpaduan dan silaturahim dikalangan pemain.

Aksi berlangsung di padang bola sepak Arena Sukan Azman Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, semalam.

Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Kukla, Leftenan Komander Mohd Najib Abdul Ghani Yolhamid berkata, pihaknya mendapat maklum balas yang baik dari segi penyertaan pemain dalam perlawanan itu.

Katanya, ia adalah perlawanan pertama membabitkan pasukan itu dan bertujuan mengeratkan lagi ukhuwah dalam kalangan pemain dan keluarga MRSM.

“Penubuhan pasukan ini berlaku secara spontan dan cadangan daripada jurulatih bola sepak Kukla, Ustaz Mohd Hasif bagi mengadakan perlawanan persahabatan. Kita dapati maklum balas yang baik daripada ‘group WhatsApp’.

“Ini adalah perlawanan pertama kami dan tak sangka ia mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Tambah Mohd Najib lagi, pihaknya juga merancang mengadakan beberapa acara sukan pada masa akan datang bagi menggalakkan aktiviti riadah serta mengamalkan gaya hidup sihat.

Perlawanan turut disertai Pengetua MRSM Kukla, Mohd Junaidi Julam manakala MUAFAKAT MRSM Gemencheh turut diwakili Yang Dipertuanya, Hasrul Faiz Ramli.

Kedua-dua pasukan turut bertukar cenderamata sebelum memulakan perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top