'Suami masih balik rumah' – Nora

'Suami masih balik rumah' – Nora

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Petaling Jaya : Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 51, yang tiba di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini, jam 9 pagi, hari ini bagi proses laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) membabitkan prosiding kes perceraian dengan suaminya, Dr Rushdi Ramli menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menentukan keputusan terbaik bagi kedua-dua pihak.

“Saya minta yang terbaik sebab kami sudah berbincang. Kita berserah kepada pihak mahkamah. Apa saja keputusan, saya terima,” katanya yang hadir ditemani kakak angkatnya, Rafeah Ariffin

Mengulas mengenai hubungannya dengan suami, Nora memaklumkan mereka masih berkomunikasi dan mengekalkan hubungan baik walaupun berdepan kemelut rumah tangga.

“Hubungan saya dengan suami macam biasa, cuma kami masing-masing sibuk. Kami tidak bermusuh, tapi kami berdua tahu keadaan macam mana,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada suaminya sering menemaninya, Nora berkata, mereka hanya saling bertanya khabar dan kadang-kadang balik ke rumahnya.

“Teman tu tiada tetapi ada bertanya khabar. Dia masih balik ke rumah sebab kami masih lagi ada ikatan,” katanya.

Terdahulu, Nora melantik Rafeah sebagai wakil JKP manakala Rushdi memilih rakannya, Syamsul Omar.

Pada 21 April lalu, Nora memfailkan permohonan cerai selepas tercetus pelbagai konflik susulan hantaran di Instagram yang memaparkan video lafaz cerai oleh Rushdi terhadapnya.

Sebulan kemudian, dia memaklumkan sudah kembali rujuk dengan suaminya itu.

Pada 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top