Barcelona: Juara bertahan Sepanyol, Barcelona menamatkan persiapan pramusim mereka dengan membelasah kelab Itali, Como, 5-0 dalam perlawanan yang menandakan hubungan kembali pulih dengan penjaga gol Marc-Andre Ter Stegen, awal pagi tadi.
Barca turut memberi Marcus Rashford peluang beraksi sebagai pemain gantian, dua minggu selepas penyerang England itu menyertai mereka secara pinjaman dari Manchester United.
Dua gol masing-masing daripada Fermin Lopez dan Lamine Yamal serta satu gol separuh masa pertama daripada pemain Brazil, Raphinha, melengkapkan kemenangan besar dalam Trofi Joan Gamper.
Perlawanan berlangsung di Stadium Johan Cruyff yang terletak dalam kompleks latihan pasukan, sementara Barcelona menunggu kerja-kerja pembaharuan besar-besaran di Camp Nou yang tertangguh untuk disiapkan.
Pasukan kendalian Hansi Flick itu mempamerkan permainan lancar menjelang perlawanan pembukaan LaLiga menentang Mallorca di tempat lawan pada Sabtu.
Sebelum sepak mula, Ter Stegen menyampaikan ucapan tradisi kapten di padang, hanya beberapa hari selepas pertikaiannya dengan kelab selepas pengendalian kecederaan belakangnya terbongkar.
“Saya rasa adalah penting untuk menyelesaikan isu antara kelab dan saya dan kini tiba masanya untuk melihat ke hadapan,” kata penjaga gol Jerman berusia 33 tahun itu, dua hari selepas jawatan kaptennya dikembalikan.
“Kami akan berjuang lagi untuk semua trofi dan kami berharap dengan sokongan anda, kami dapat memenangi semua gelaran yang mungkin,” kata Ter Stegen kepada penyokong.
Rashford mengalami nasib bercampur-campur apabila melakukan hantaran lintang untuk Raphinha menjaringkan gol, tetapi turut mensia-siakan peluang mudah di depan gawang terbuka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




