Pelajar universiti perlu dikuarantin bila kembali ke kampus

Pelajar universiti perlu dikuarantin bila kembali ke kampus

latifah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Langkah pengawalan COVID-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan hanya mewajibkan kuarantin bagi pelajar yang pulang semula ke kampus dari lokasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disifatkan sebagai tidak memadai dan berisiko mencetuskan penyebaran jangkitan atau kluster baharu di institusi pengajian tinggi (IPT).

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, berkata dalam keadaan peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara, sepatutnya semua mahasiswa termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu diasingkan dalam tempoh tertentu.

“Sepatutnya semua mahasiswa yang kembali dari kampung perlu dikuarantin untuk pastikan tidak berlaku situasi terlepas pandang. Ini bagi memastikan setiap mahasiswa yang masuk ke kampus adalah bebas daripada COVID-19,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik Jabatan Pendidikan Tinggi, Dr Mohd Suzeren Md Jamil memaklumkan, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang pulang berhari raya dari kawasan PKP diwajibkan menjalani proses pengasingan selama 10 hari apabila kembali semula ke kampus. Dalam tempoh itu, pelajar terbabit tidak digalakkan bertemu atau bersama rakan pelajar lain.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata langkah terbaik yang wajar dipertimbangkan adalah melaksanakan saringan COVID-19 membabitkan semua mahasiswa sebelum kembali ke kampus.

“Pendekatan ini membabitkan kos dan masa. Keputusan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) adalah terbaik dan ia sah hingga tiga hari.

“Bagaimanapun, isunya siapa yang harus menanggung kos saringan kerana ia membabitkan peruntukan yang besar. Saya sarankan ujian saringan secara berkelompok perlu dilaksanakan kerana ia akan menurunkan kos seunit saringan, misalnya cuma RM60 perlu ditanggung oleh seorang pelajar,” katanya.

Katanya, proses kuarantin di kampus juga perlu dipantau dengan ketat kerana berkemungkinan ada mahasiswa yang terpaksa keluar untuk membeli makanan atau mendapatkan barang keperluan. Cara lain yang lebih berkesan ialah pelajar dikuarantin di tempat khas dengan makan minum mereka dijaga sepanjang tempoh itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top