KRU bakal bina taman tema berkonsep filem Magika

KRU bakal bina taman tema berkonsep filem Magika

georgie@hmetro.com.my

Putrajaya: KRU Entertainment bakal mewujudkan taman tema berkonsepkan filem muzikal fantasi popularnya Magika yang dijangka dibuka kepada umum pada bulan Mei tahun depan.

Pengerusi Eksekutif KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim, 53, berkata, idea itu susulan permintaan tinggi untuk sekuel filem terbabit, namun memerlukan platform promosi lebih utuh daripada sekadar media sosial.

“Ramai pihak mahukan Magika 2 keluar. Tapi pada masa sama, ia perlukan satu tapak platform untuk promosi. Kalau setakat media sosial saja tak cukup, kita perlukan lokasi fizikal.

“Kontrak sudah ditandatangani. Pelancarannya (dijangka) pada Mei tahun hadapan, insya-Allah,” katanya ditemui pada sidang media kerjasama Kruniverse Sdn Bhd dan Unity Trust Berhad, di Putrajaya Wetlands Park, di sini.

Menurutnya, taman tema yang menghidupkan watak-watak mitos dan dongeng Melayu seperti dalam Magika dilihat sebagai langkah yang sangat sesuai dan strategik untuk mengembangkan lagi jenama terbabit.

Mengulas lanjut mengenai status projek mega terbabit yang berpengkalan sekitar Lembah Klang, Norman mengesahkan fasa pembinaannya sedang berjalan lancar dan bakal direalisasikan tidak lama lagi.

“Struktur asas sudah ada. Sekarang rakan strategik kami sedang membuat tender untuk pembekalan elektrik. Insya-Allah kerja-kerja infrastruktur akan siap hujung tahun ini dan pemasangan aset bermula Januari tahun hadapan,” katanya.

Memperincikan mengenai konsepnya, Norman berkata, taman tema itu tidak akan menampilkan permainan ekstrem seperti ‘roller-coaster’, sebaliknya mempunyai fokus yang berbeza.

“Konsep kita adalah ‘edutainment’ atau didik hibur. Ia bukan seperti taman tema yang ada ‘roller-coaster’. Kita mahu ia mendidik tetapi pada masa sama menghiburkan,” katanya.

Filem Magika adalah karya fantasi muzikal arahan Edry Abdul Halim yang menghimpunkan pelbagai watak ikonik daripada lagenda dan dongeng Melayu dan menjadi fenomena pada 2010.

Filem terbabit dibintangi barisan pelakon popular seperti Diana Danielle, Mawi, Ziana Zain, Ning Baizura, Maya Karin dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Lebih manis, ia diangkat sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), mengesahkan statusnya sebagai sebuah karya yang diminati ramai dan relevan sehingga kini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top