Teluk Renjuna jadi lokasi Fire Point di Kelantan

Teluk Renjuna jadi lokasi Fire Point di Kelantan

am@hmetro.com.my

Tumpat: Kampung Teluk Renjuna dipilih sebagai lokasi Fire Point Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bagi membolehkan bantuan kecemasan disalurkan dengan lebih pantas.

Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata, ia sangat diperlukan di kawasan kepulauan di delta Sungai Kelantan memandangkan ia lokasi yang terpencil dan berdepan dengan kesukaran capaian respon oleh pasukannya jika berlaku kebakaran.

Menurutnya, penempatan peralatan asas di kampung itu mampu dimanfaatkan oleh kira-kira 3,000 penduduk yang mewakili 630 keluarga.

“Program ini bermula sejak 2023 dan di Kelantan, Kampung Teluk Renjuna adalah lokasi pertama di Kelantan memandangkan kedudukannya yang strategik dengan populasi agak padat.

“Di sini, kita bekalkan peralatan asas antaranya ialah pam, hos, ‘dividing breeching’ (cabang pembahagi), jaket keselamatan dan boya. Peralatan ini juga boleh digunakan di kampung sekitar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran dan Fire Point Bomba Komuniti di Kampung Teluk Renjuna yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah.

Mengulas lanjut, Farhan Sufyan berkata, pasukan Bomba Komuniti turut ditubuhkan di samping memperkenalkan program Sedia Urus Risiko Isi Rumah (SURI) yang memberi latihan serta kesedaran keselamatan kebakaran kepada kaum wanita.

“Kita juga perkenalkan kempen 1 Rumah 1 Alat Pemadam Api (1 RAPi) dengan menyediakan satu alat pemadam api di setiap rumah dan ajar cara menggunakannya.

“Satu lagi inisiatif baharu yang diperkenalkan JBPM adalah Jom Renang dengan menyasarkan penyertaan 300 peserta berusia 14 tahun ke bawah. Ia bukanlah untuk menjadikan peserta mahir berenang tapi memberi pendedahan untuk menarik minat mereka belajar dengan lebih serius,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top