syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Saya tak terfikir nak dapat kedudukan atau gelaran. Tiada. Yang saya tahu, saya menyanyi, hiburkan orang dah cukup. Saya tak kejar gelaran.”
Demikian kata penyanyi, Ziana Zain ketika diminta mengesahkan mengenai desas desus bahawa dirinya bakal menerima anugerah yang membawa gelaran Datuk dari kerajaan sebuah negeri.
Ziana ketika ditemui pada acara Muzik Lab berkata, dia menyerahkan soal rezeki kepada Allah, namun tidak pernah mengejar gelaran itu.
“Semua itu Allah yang bagi. Bila Dia kata sudah sampai masanya untuk diberikan kepada saya, saya terima. Tak payah fikir, tak payah kejar.
“Kamu kena ada kelas tersendiri. Biar benda itu datang kepada kamu, bukan kamu yang mengejarnya,” katanya kepada Harian Metro.
Diminta mengulas lanjut mengenai desas desus itu, Ziana berkata, ia bukanlah perkara baharu memandangkan sudah berlegar sejak bertahun lalu.
“Saya pun tak tahu nak cakap sebab benda ini sudah berlegar-legar sejak beberapa tahun. Kalau rezeki Allah nak bagi, saya terima.
“Ramai orang tanya, kenapa saya tak dapat Datuk lagi. Saya tak tahu apa yang mereka lihat, dari segi apa, saya tak tahu,” katanya.
Tambah penyanyi lagu Madah Berhelah itu lagi, dia juga tidak pernah menerima jemputan daripada mana-mana pihak.
“Tak pernah (ditawarkan). Tiada yang berjumpa atau datang ke rumah walau kita dah mendengar mengenai perkara ini sejak beberapa tahun.
“Setiap kerajaan negeri, mereka ada calon mereka sendiri. Kita tak tahu sama ada kita tercalon.
“Ada beberapa rakan saya yang dapat dan beritahu kena isi borang dan sebagainya. Rupa-rupanya ramai. Tapi, macam yang saya cakap, kita tak tahu siapa yang tercalon,” katanya.
Ziana hadir ke acara Muzik Lab sempena kehadiran Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) sebagai panel yang berkongsi pengalaman dalam industri dan turut membuat persembahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




