Op Khas di spa cekup 5 tukang urut lelaki

Op Khas di spa cekup 5 tukang urut lelaki

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan lima tukang urut lelaki warga asing dalam serbuan di sebuah spa di Sri Petaling di sini, semalam.

Operasi Khas bermula 12.15 tengah malam itu dilakukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM Putrajaya berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga Thailand dan empat lelaki warga Myanmar berusia 20 hingga 34 tahun yang dipercayai bekerja sebagai tukang urut.

Menurutnya, semakan awal mendapati, lelaki warga Thailand yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), manakala empat lelaki warga Myanmar tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah untuk berada di negara ini.

“Pasukan operasi juga menyita wang tunai berjumlah RM3,101 yang disyaki hasil daripada aktiviti haram, iklan khidmat urut dan kod QR untuk bayaran.

“Modus operandi yang digunakan adalah menggunakan media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan urutan kepada pelanggan lelaki. Aktiviti yang dijalankan ini juga berselindung di sebalik pusat spa yang tidak bernama dan tidak berlesen.

“Kadar bayaran dikenakan adalah sebanyak RM109 untuk sejam dan dipercayai sudah beroperasi sejak empat bulan lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zakaria berkata, lelaki warga Thailand ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Per39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan empat lelaki warga Myanmar ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

“Warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. Seramai dua lelaki warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya yang memaklumkan JIM akan memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan dan memastikan keselamatan serta integriti negara terus terpelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top