mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah sebak di Dewan Rakyat, hari ini apabila mengenangkan kematian tragis pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Matbali kelihatan sedih ketika berkongsi kejadian malang menimpa anak jati Sipitang terbabit semasa membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Izinkan saya bawakan kisah tragik yang meragut nyawa adik Zara Qairina, seorang anak kecil dari Parlimen Sipitang yang meruntun kesedihan sebuah keluarga dan mencetuskan kegusaran di seluruh negara.
“Anak kecil ini sepatutnya dilindungi di tempat paling selamat di sekolah iaitu tempat dia mencari ilmu,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, kerajaan serta Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pendidikan (KPM), Ahli Parlimen, pasukan peguam serta rakyat Malaysia atas keprihatinan dan komitmen menegakkan keadilan buat remaja itu.
“Mewakili rakyat Sipitang, saya merakamkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan, Ketua Menteri Sabah, kerajaan negeri Sabah, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, ahli Yang Berhormat (Ahli Parlimen), pasukan peguam mewakili keluarga Allahyarhamah serta seluruh rakyat Malaysia atas keprihatinan, titipan takziah dan komitmen serius untuk tangani isu ini secara telus dan tuntas,” katanya.
Pada masa sama, Matbali turut memberi cadangan dalam usaha menangani isu buli di sekolah termasuk penggubalan undang-undang khusus anti buli.
“Saya merayu pihak kerajaan jangan biarkan pemergian adik Zara berlalu tanpa makna. Sudah tiba masanya undang-undang khusus anti buli digubal dengan segera.
“Biar ada garis panduan jelas perlindungan kepada mangsa dan pemberi maklumat serta tindakan tegas terhadap pelaku.
“Adik Zara tak akan kembali, namun kisahnya mesti jadi peringatan yang sentiasa membugar dalam minda kita. Setiap kanak-kanak berhak mendapat jaminan keselamatan, disayangi dan dilindungi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Zara Qairina terjatuh dari bangunan asrama perempuan di sebuah sekolah berasrama di Papar, kira-kira 3 pagi, 16 Julai lalu.
Remaja 13 tahun itu dilaporkan meninggal dunia pada keesokan harinya ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya kubur Allahyarham Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
