Bagi yang gemar bercuti secara kembara beg galas atau backpackers, menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama dilihat sebagai langkah yang ideal dan menjimatkan.
Tapi, anda yang bercadang membawa bersama keluarga bercuti menggunakan pengangkutan itu pastinya berupaya mencipta momen indah asalkan segalanya dirancang rapi.
Apatah lagi anda yang gemarkan percutian berbeza sudah tentunya dapat menzahirkan impian itu kerana laluan kereta api sama ada dalam atau luar negara biasanya menawarkan pemandangan unik yang tidak sama dengan pengangkutan lain.Ini kerana ada destinasi yang dilalui kereta api tidak dilalui kenderaan lain termasuk suasana dan pemandangan kampung, ladang-ladang dan jambatan bersejarah.
Secara tidak langsung percutian anda lebih bermakna apabila istilah ‘outfit of the day’ (OOTD) membenarkan anda merakam sebanyak mungkin momen ketika berada di dalam kereta api.
Berada dalam pengangkutan itu juga membawa anda mengenali budaya setempat atau sesebuah negara kerana ia adalah boleh membawa sejumlah besar penumpang pada satu-satu masa.
Biasanya kereta api menjadi pilihan masyarakat setempat kerana tiketnya lebih murah dan menghubungkan kawasan bandar dengan kampung.Bukan hanya Malaysia, Benua Eropah juga mempunyai jaringan landasan kereta api yang baik, sekali gus menjadi pilihan pelawat untuk meneroka keunikan sesebuah negara.
Di negara kita, jaringan kereta api bertambah baik selepas pengenalan Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) iaitu tren laju di antara Padang Besar, Perlis Butterworth, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Gemas, Negeri Sembilan yang diperkenalkan Keretapi Tanah Melayu pada 12 Ogos 2010.
Tip menggunakan kereta api ketika bercuti:
1. Kemas bagasi
Sebelum memulakan perjalanan, harus kemas bagasi dan minimumkan barangan supaya mudah diangkat atau dibawaAda kalanya, jarak antara pintu masuk kereta api dengan tempat duduk agak jauh jadi mengangkat bagasi dalam jarak itu sudah pasti memenatkan.
2. Pastikan bagasi anda dikunci bagi mengelakkan berlaku kecurian
Mengamalkan langkah-langkah keselamatan sewajarnya dapat mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kecurian
3. Sentiasa bersedia
Disarankan supaya anda tiba 45 minit lebih awal di platform sebelum tren berlepas.Sekali gus membuatkan anda sentiasa bersedia dan mengelakkan insiden anda terkejar-kejar atau ditinggalkan kereta api.Simpan tiket sepanjang perjalanan kerana pada bila-bila masa sahaja konduktor membuat pemeriksaan secara mengejut.
4. Keselesaan
Biasanya perjalanan dalam kereta api mengambil tempoh yang lama. Duduk berjam-jam dalam pengangkutan itu pasti memenatkan.Lebih perit lagi jika anda memakai seluar jeans yang ketat. Sebaiknya, pakai seluar berkain lembut dan longgar untuk keselesaan sepanjang masa.Bawa juga selimut atau baju panas sekiranya melakukan perjalanan pada sebelah malam bagi mengelak anda kesejukan.
5. Bawa snek
Ini kerana tidak semua perkhidmatan kereta api menyediakan jualan makanan.Bawa roti, coklat atau makanan yang tahan lama dan tidak mudah basi sebagai alas perut jika kereta api yang anda naiki tidak menjual makanan.Ia juga sebagai langkah persediaan jika berlaku situasi kelewatan tren akibat kerosakan atau landasan terhalang.
© New Straits Times Press (M) Bhd
