KPISM tuntut siasatan segera, dakwa tanpa kompromi warga China cederakan pegawai imigresen

KPISM tuntut siasatan segera, dakwa tanpa kompromi warga China cederakan pegawai imigresen

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menuntut siasatan berhubung kejadian pegawai kaunter imigresen diserang dan dicederakan wanita warga China ketika pemeriksaan pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam, dipercepatkan dan pendakwaan dilakukan tanpa kompromi terhadap pelaku.

Presidennya, Ajeet Singh Gurbax Singh berkata, tindakan provokasi atau mencederakan penjawat awam boleh dikenakan tindakan undang-undang, tanpa mengira sama ada pelaku warga Malaysia atau warga asing.

Menurutnya, tindakan yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia boleh disifatkan sebagai mencabar kedaulatan undang-undang negara dan setiap pelancong wajib menghormati undang-undang negara yang mereka lawati.

Katanya, pihaknya memandang serius kejadian yang berlaku ke atas pegawai imigresen yang juga ahli kesatuan dan menyeru pihak pengurusan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mengambil langkah proaktif bagi memastikan keselamatan pegawai bertugas serta pelancong lain.

“KPISM berharap pihak Kementerian dapat meneliti semula cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap kaunter bagi memastikan pemantauan perjalanan pemeriksaan imigresen lebih komprehensif dan efisien.

“Sehubungan itu, KPISM menuntut agar siasatan dipercepatkan dan pendakwaan dilakukan tanpa kompromi terhadap pelaku,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, KPISM mengutuk sekeras-kerasnya insiden serangan fizikal dan mengeluarkan kata kesat terhadap seorang pegawai wanita

Jabatan Imigresen Malaysia yang bertugas di Kaunter Pemeriksaan Imigresen, Balai Berlepas, KLIA Terminal 1 sekitar jam 7.40 pagi.

“Dalam insiden itu, seorang penumpang warga asing bertindak memaki hamun, menarik tudung, dan menolak kepala pegawai hingga menyebabkan kecederaan ringan.

“Tindakan pantas pasukan keselamatan lapangan terbang berjaya mengawal keadaan dan kes dirujuk kepada pihak berkuasa untuk siasatan serta tindakan undang-undang,” katanya.

Ajeet Singh berkata, pihaknya akan terus memberikan sokongan penuh kepada pegawai terbabit termasuk bantuan kebajikan dan guaman sehingga proses keadilan selesai.

“Pegawai imigresen adalah benteng hadapan kedaulatan negara. Mengasari mereka ketika bertugas bukan sahaja perbuatan biadab, malah mencemarkan imej negara dan mengancam keselamatan di pintu masuk antarabangsa,” katanya.

Hari ini media melaporkan, seorang wanita warga China ditahan kerana bertindak agresif dan mencederakan pegawai kaunter imigresen ketika pemeriksaan pelepasan di KLIA di sini, semalam.

Kejadian berlaku di Balai Berlepas KLIA Terminal 1 apabila empat warga China terdiri daripada dua dewasa dan dua kanak-kanak menjalani pemeriksaan pelepasan imigresen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top