Guru selamatkan budak 10 tahun merayau sendirian kerana merajuk dengan ibu angkat

Guru selamatkan budak 10 tahun merayau sendirian kerana merajuk dengan ibu angkat

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun diselamatkan orang awam selepas ditemui berjalan seorang diri di tepi jalan besar di kawasan Taman Belimbing Setia, Durian Tunggal, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, murid sekolah rendah di Durian Tunggal terbabit dikatakan nekad keluar dari rumah disyaki akibat merajuk dengan ibu angkatnya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, kanak-kanak itu diselamatkan sepasang suami isteri sebelum diserahkan ke Balai Polis Durian Tunggal.

“Difahamkan kanak-kanak itu ditemui sekitar jam 11 malam dan sudah dituntut ahli keluarganya sejam kemudian,” katanya dihubungi di sini.

Azrul turut menasihati ibu bapa supaya sentiasa memberi perhatian dan pengawasan rapi terhadap anak-anak, khususnya remaja dan segera melaporkan mereka hilang atau tidak pulang dalam tempoh yang membimbangkan.

“Kes anak melarikan diri dari rumah sering berpunca daripada kurangnya pemantauan, masalah komunikasi atau pengaruh luar yang negatif.

“Justeru ibu bapa dinasihati supaya memastikan perhubungan dan komunikasi keluarga sentiasa erat agar anak-anak berasa selamat untuk berkongsi masalah.

“Ibu bapa juga perlu memantau pergerakan, rakan sebaya dan aktiviti anak-anak terutamanya di luar waktu sekolah serta mengawal penggunaan gajet dan media sosial, kerana platform ini kerap menjadi medium perancangan untuk melarikan diri,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman suara lelaki berdurasi 22 saat di aplikasi WhatsApp memaklumkan penemuan kanak-kanak berserta gambarnya serta meminta waris menuntut mangsa di Balai Polis Durian Tunggal.

Sementara itu, seorang guru sekolah rendah yang enggan dikenali berkata, dia terserempak kanak-kanak itu ketika dalam perjalanan ke Vista Belimbing untuk membeli makanan.

“Sebetulnya saya sudah memandu melepasinya sebelum berpatah balik ke arah kanak-kanak itu kerana berasa tidak sedap hati melihat dia berjalan seorang diri waktu malam di tepi jalan yang agak sunyi.

“Apabila sampai dia dalam keadaan menangis dan saya terus bertanya apa yang berlaku serta mengajaknya menaiki kereta dan memandu pulang ke rumah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, selepas menceritakan kepada isterinya mereka kemudian menyerahkan kanak-kanak itu kepada anggota polis di Balai Polis Durian Tunggal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top